SIBU: Mahkamah Sesyen di Mukah, hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan terhadap seorang duda atas pertuduhan merogol gadis bawah umur.
Tertuduh yang berumur 27 tahun, didakwa merogol seorang gadis berusia 14 tahun antara 24 Disember 2023 hingga 1 Januari 2024, kira-kira jam 10 malam di sebuah rumah panjang di Dalat.
Sehubungan itu tertuduh didakwa dan dihukum mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit dengan kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada 30 Julai 2024, lebih kurang jam 2 petang di Klinik Kesihatan Sumpang Bukut, Mukah, pengadu yang juga pegawai perubatan telah memeriksa pesakit yang mengandung di bawah umur.
Terdahulu, pihak sekolah telah merujuk pesakit untuk mengesahkan kehamilan dan hasil pemeriksaan mendapati usia kandungan sekitar 33 minggu, dengan tarikh dijangka bersalin pada 17 September 2024.
Pesakit atau mangsa mengatakan pada awal tahun ini dia telah dipaksa oleh bapa saudaranya iaitu tertuduh untuk melakukan hubungan seks di rumah panjang tersebut.
Pada 31 Julai 2024, lebih kurang jam 3.30 petang, penolong pegawai penyiasat kes bersama beberapa anggota polis yang lain telah menahan seorang lelaki tempatan di pekarangan sebuah rumah panjang.
Sisatan mendapati pada sambutan Krismas dan ambang Tahun Baharu, lebih kurang jam 10 malam, tertuduh telah berjumpa mangsa di ruai rumah panjang dan mengajak mangsa melakukan hubungan seks, namun ditolak oleh mangsa.
Bagaimanapun mangsa telah ditarik oleh tertuduh masuk ke dalam bilik sebelum merogol mangsa.
Mangsa hanya berdiam diri kerana takut.
Tertuduh bagaimanapun menafikan memaksa mangsa dalam setiap kali melakukan hubungan seks, sebaliknya mendakwa ia atas kerelaan mangsa sendiri.
Bapa mangsa juga pernah menjumpai mangsa bersama tertuduh di dalam kereta berduaan di kebun sawit berhampiran rumah panjang pada bulan Julai 2024, lebih kurang jam 1 pagi.
Kes didengar di hadapan hakim Musyiri Peet sementara pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Amirul Hakim Mohamad Zamri.
|