Edited by maklukpenggoda at 18-10-2024 01:15 PM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen jam 4 petang ini.
Bertemakan 'Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera', ia adalah belanjawan ketiga oleh kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.
Perdana Menteri pada 7 Oktober lalu menyatakan keyakinan terhadap Belanjawan 2025 selepas menandatangani dokumen rasmi belanjawan itu di Kementerian Kewangan.
"Insya-Allah, pada pembentangan belanjawan 18 Oktober ini, lebih banyak pembaikan kepada struktur ekonomi akan diperkenalkan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat ini dapat dikongsi dengan rakyat terbanyak secara saksama," katanya.
Perdana Menteri menyatakan penghargaan kepada semua tenaga kerja yang telah bertungkus-lumus untuk merangka belanjawan berkenaan.
Tumpuan inflasi dan kenaikan gaji penjawat awam Dalam temu bual dengan CNBC baru-baru ini, Anwar berkata Kerajaan MADANI akan memberi tumpuan kepada isu inflasi dan kenaikan gaji dalam belanjawan yang akan datang.
Tumpuan Belanjawan 2025 pastinya pada langkah yang bakal diperkenalkan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan peniaga, pelabur dan penganalisis ekonomi, sedang menantikan belanjawan ini dengan harapan ia akan membawa pendekatan menyeluruh dan progresif, terutama dalam menangani cabaran global serta memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia.
Semua golongan dapat manfaaat Belanjawan kali ini juga dijangkakan menyediakan sesuatu untuk semua golongan, termasuk petani, nelayan, pekebun kecil, pekerja yang dibayar gaji secara harian, generasi muda yang mencari pekerjaan serta suri rumah dan pekerja gig.
Memandangkan kebimbangan terhadap inflasi dan kos sara hidup semakin meningkat, ramai menjangkakan Belanjawan 2025 akan menyediakan langkah baharu untuk membantu rakyat menguruskan kehidupan harian, seperti insentif cukai, bantuan tunai bersasar dan subsidi harga barang keperluan asas.
Bagi sektor perniagaan pula, pakar ekonomi meramalkan pakej rangsangan yang lebih komprehensif akan diumumkan bagi mempercepatkan pemulihan pasca pandemik dan mengekalkan daya saing negara dalam pasaran global.
Ini termasuk pelbagai insentif bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor swasta yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.
Kurangkan defisit fiskal Di sebalik semua jangkaan ini, persoalan utama adalah sama ada kerajaan akan menyelaraskan perbelanjaan negara dengan sasaran untuk mengurangkan defisit fiskal.
Dalam kerangka Belanjawan 2025, kerajaan juga dijangka merangka pelbagai inisiatif untuk memperbaiki keadaan infrastruktur asas seperti sekolah dan klinik, jalan raya dan bekalan asas luar bandar.
Belanjawan 2025 juga dijangka memberi tumpuan kepada meningkatkan siling ekonomi menerusi penyusunan semula ekonomi melalui peralihan hijau, meningkatkan daya saing dan produktiviti negara, menarik pelaburan, serta mempromosikan inovasi dan digitalisasi khususnya dalam kalangan perusahaan kecil, sederhana dan mikro (PMKS).
Subsidi, bantuan sosial Perdana Menteri dijangka turut mengumumkan penyasaran subsidi dan bantuan sosial untuk meringankan kos sara hidup, khususnya golongan B40.
Belanjawan ini turut dijangka memperkenalkan langkah untuk memperluas asas cukai dan memastikan sistem percukaian yang progresif sambil mengurangkan ketirisan dalam kutipan cukai.
Difahamkan, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan disentuh buat masa ini, sekiranya ambang gaji minimum tidak mencecah RM3,000 hingga RM4,000. Pada masa ini, gaji bulanan minimum di Malaysia adalah pada RM1,500.
Menurut Maybank Investment, defisit belanjawan bagi 2025 dijangka berada pada paras 3.9 peratus daripada KDNK, berbanding sasaran 4.3 peratus dalam Belanjawan 2024. Ramalan ini berdasarkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 4.2 peratus, dengan anggaran jumlah perolehan RM320.5 bilion.
Pertumbuhan ini dijangka dipacu oleh momentum ekonomi yang berterusan serta peningkatan pendapatan korporat.
Belanjawan 2025 dijangka bernilai RM403.5 bilion Anggaran saiz Belanjawan 2025 dijangka meningkat sebanyak 2.5 peratus kepada RM403.5 bilion, terutama akibat kenaikan gaji penjawat awam yang akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu pada 1 Disember 2024 dan 1 Januari 2026.
Dalam pada itu, aras gaji minimum juga mungkin disemak semula kepada RM1,700 hingga RM1,800 sebulan berbanding aras semasa RM1,500 sebulan. Juga dijangka adalah penetapan aras gaji minimum untuk graduan baharu.
Belanjawan 2025 juga dijangka memberi tumpuan kepada rasionalisasi dan pengoptimuman subsidi, termasuk rasionalisasi subsidi petrol RON95. Namun seperti yang disebut Perdana Menteri sebelum ini, penyasaran subsidi bahan api berkenaan tidak akan membabitkan 85 peratus rakyat.
Harga minyak mentah lebih rendah dan ringgit yang lebih kukuh memberi peluang kepada kerajaan untuk berbuat demikian.
Langkah rasionalisasi ini mungkin membabitkan kenaikan harga petrol RON 95, disusuli bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada golongan berpendapatan rendah.
Selain itu, difahamkan kerajaan juga dijangka menamatkan subsidi gula dan telur sejajar perancangan untuk mengoptimumkan perbelanjaan awam.
Belanjawan juga mungkin menumpukan kepada pengurangan subsidi pendidikan khususnya bagi golongan berpendapatan tinggi, seperti kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini.
Anwar juga dikatakan akan menumpukan kepada beberapa inisiatif bagi mengukuhkan tadbir urus fiskal, meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan mengoptimumkan kos melalui langkah konsolidasi dan rasionalisasi agensi kerajaan.
Pengenalan Akta Perolehan Kerajaan (GPA) pada mesyuarat Dewan Rakyat kali ini adalah langkah legislatif penting selepas Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) bagi memperkukuh tadbir urus fiskal dan meningkatkan disiplin serta pengawasan dalam kewangan awam.
Akta ini bertujuan menambah baik pengurusan perbelanjaan awam dan kontrak melalui pelaksanaan tender terbuka serta audit wajib bagi perolehan dan kontrak bernilai tinggi.
Ini relevan untuk kategori 'Bekalan dan Perkhidmatan' yang mewakili 12.5 peratus daripada Perbelanjaan Operasi (OE) di bawah Belanjawan 2024, iaitu item keempat terbesar selepas 'Emolumen', 'Pencen', dan 'Caj Perkhidmatan Hutang' serta lebih besar berbanding 'Subsidi & Bantuan Sosial'.
Sementara itu, sektor kesihatan dan pendidikan dijangka terus menjadi keutamaan dengan hampir satu pertiga daripada peruntukan keseluruhan belanjawan.
Reformasi sistem pencen penjawat awam Kerajaan juga mungkin mengumumkan reformasi sistem pencen, di mana pekerja baharu perkhidmatan awam tidak lagi menerima skim pencen tetapi skim kontrak yang lebih baik untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan untuk bayar pencen.
Sementara itu TA Securities, berkata dalam konteks politik yang stabil, pasaran dijangka memberi reaksi positif terhadap Belanjawan 2025 dengan unjuran pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan kestabilan dalam pendapatan korporat.
BIMB Securities menyatakan bahawa terdapat kemungkinan kerajaan tidak akan mengumumkan pelaksanaan beberapa projek mega dalam Belanjawan 2025 kerana mahu menumpukan kepada program rakyat yang lebih mendesak.
BH
|