Penduduk Long Bemang terpaksa meredah banjir yang mencatat ketinggian 1.3 kaki pagi ini untuk keluar melakukan aktiviti harian mereka.
MIRI: Keadaan banjir yang melanda Kampung Long Bemang sejak tiga hari lalu terus menunjukkan trend menaik dengan paras air direkodkan setinggi 1.3 kaki pagi ini.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Long Bemang, setakat jam 7.20 pagi ini, keadaan cuaca di kawasan kampung berkenaan dilaporkan mendung namun paras air menunjukkan trend menaik.
Keadaan itu telah menjejaskan 565 orang penduduk dari 103 pintu rumah panjang di kampung berkenaan.
"Meskipun masih dilanda banjir, namun tiada pemindahan ke Pusat Pemindahan Sementara dilakukan dan penduduk yang terjejas hanya berpindah ke tingkat atas rumah masing-masing.
"Manakala bekalan elektrik telah diputuskan oleh pihak Sarawak Energy Berhad di kawasan terjejas," kata laporan itu.
Untuk rekod, Kampung Long Bemang mulai dilanda banjir sejak jam 5 petang, 16 Oktober lalu.
|