![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20241018/whatsappimage2024-10-18at083540.jpeg)
Gambar fail
MIRI: Penduduk Kampung Haji Wahed menuntut penjelasan daripada Jawatankuasa Pemilihan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) berhubung proses pemilihan ketua kaum baharu di kampung mereka yang didakwa tidak adil.
Menurut Zulhaidah Suboh (gambar) selaku wakil penduduk, isu ini timbul apabila lantikan ketua kaum yang baharu dilakukan tanpa melalui proses pemilihan yang telus, meskipun terdapat lebih daripada seorang calon yang menawarkan diri untuk jawatan tersebut.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita Keadilan Sarawak berkata terdapat tiga orang calon telah mengisi borang pencalonan untuk jawatan ketua kaum, namun keputusan diakhiri dengan lantikan tanpa proses pemilihan yang sepatutnya melalui sistem demokrasi.
"Proses ini dianggap tidak adil memandangkan hak penduduk untuk memilih pemimpin mereka sendiri melalui sistem demokrasi telah dinafikan.
"Ini seolah-olah memecahbelahkan penduduk kampung dan menafikan hak mereka untuk bersuara dalam negara yang mengamalkan demokrasi dan adat asal," katanya.
Menurut Zulhaidah, sewajarnya fungsi dan peranan borang pencalonan adalah untuk memberi ruang kepada sesiapa sahaja yang berhasrat dan layak untuk berkhidmat sebagai ketua kaum.
“Oleh kerana terdapat lebih daripada seorang calon, adalah wajar proses pemilihan dilakukan mengikut adat dan cara yang betul agar mesyuarat pemilihan diadakan, di mana penduduk boleh membuat pilihan melalui undi.
“Tindakan Jawatankuasa Pemilihan KMKK yang terdiri daripada Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Miri tidak melaksanakan proses ini dengan betul dianggap melanggar prinsip keadilan dan integriti yang seharusnya dipegang oleh pihak berkuasa,” tegasnya.
Justeru, penduduk Kampung Haji Wahed kini menuntut penjelasan lanjut daripada pihak berkenaan mengenai sebab lantikan dilakukan tanpa melibatkan mesyuarat pemilihan.
Menurut Zulhaidah, isu pemilihan ketua kaum bukan sahaja berkisar tentang siapa yang layak memimpin, tetapi juga tentang hak penduduk untuk terlibat dalam proses demokrasi di kampung mereka.
Tambahnya, dalam sebuah negara yang mengutamakan prinsip keadilan dan kesaksamaan, tindakan menafikan proses pemilihan terbuka menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dalam pentadbiran.
“Penduduk kampung juga menegaskan bahawa mesyuarat pemilihan adalah penting untuk memastikan Ketua Kaum yang dilantik benar-benar mewakili suara majoriti.
“Proses ini bukan sekadar formaliti, tetapi menjadi medium di mana penduduk dapat menyuarakan pandangan dan harapan mereka terhadap pemimpin yang bakal menerajui kampung,” ujar beliau lanjut.
Sehubungan itu, penduduk Kampung Haji Wahed menggesa pihak Jawatankuasa Pemilihan KMKK untuk bertindak dengan penuh keadilan dan integriti dalam menangani isu ini.
|