Edited by Vellfire at 18-10-2024 03:52 PM
Seorang kritikal, enam selamat setelah kereta terbabas ke dalam sungai berhampiran Kampung Awat-Awat, Lawas hari ini
Anggota bomba membantu mencari mangsa yang terperangkap dalam kereta yang terhumban ke dalam sungai berhampiran Kampung Awat-Awat, hari ini.
“Enam mangsa berjaya dikeluarkan oleh pemandu ketika kereta terbabas ke dalam sungai manakala tiga lagi mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam yang membantu.”
Azman Ibrahim
Ketua BBP Lawas
Oleh Mastura Ismail
LAWAS: Tiga kanak-kanak maut, seorang kritikal manakala enam lagi penumpang selamat setelah sebuah kenderaan terbabas ke dalam sungai berhampiran Kampung Awat-Awat di sini, hari ini.
Mangsa yang maut ialah Mohamad Nazran Matasan, 10; Mohd Fayard Mohd Azmi, 5 dan Eryna Akifa Imani Zukri, 8, dalam kejadian menyayat hati yang berlaku jam 1.15 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas Azman Ibrahim berkata, kanak-kanak perempuan, Madieenatul Munawarah Mohd Azmi, 9, kini kritikal dan telah dirujuk ke Hospital Miri.
Azman (dua kiri) turut berada di Hospital Lawas hari ini.
Katanya, BBP Lawas bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang mengatakan terdapat sebuah kenderaan terbabas ke dalam sungai.
“Setibanya pasukan di tempat kejadian didapati benar berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan yang dalam perjalanan dari arah bandar menuju ke Kampung Awat-Awat.
“Enam mangsa berjaya dikeluarkan oleh pemandu ketika kereta terbabas ke dalam sungai manakala tiga lagi mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam yang membantu,” katanya dalam kenyataan media.
Kata Azman, empat mangsa dihantar ke Klinik Sundar, Lawas untuk mendapatkan rawatan seterusnya dirujuk ke Hospital Lawas dan seorang mangsa dirujuk ke Hospital Miri.
|