HASSAN
TAWAU: Belanjawan 2025 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat memberi impak positif kepada Sabah dan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg. Amir berkata, tiga sektor menjadi tumpuan iaitu pembangunan infrastruktur, sosio-ekonomi dan pembangunan modal insan.
Katanya, belanjawan ini sangat signifikan kepada sektor pembangunan infrastruktur terutamanya projek Pan Borneo dan Sabah Sarawak Link Road (SSLR).
“Ia mampu meningkatkan tahap kualiti serta keselesaan terhadap sektor pengangkutan disamping dapat memudahkan hubungan perjalanan antara Sabah dan Sarawak.
“Belanjawan ini juga meliputi kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Tawau yang dilihat mampu meningkatkan kapasiti pelawat sekali gus melonjakkan sektor pelancongan di pantai timur Sabah,” katanya.
Selain itu, katanya, penggunaan teknologi hibrid untuk bekalan air bersih memastikan agar penduduk luar bandar termasuk di kawasan Pulau Sebatik, mendapat akses yang lebih baik kepada bekalan air ini.
Hassan berkata, merujuk kepada sektor pembangunan Sosio-Ekonomi belanjawan ini dapat memfokuskan kepada pendidikan dengan pembangunan sekolah daif dan baharu.
“Ini termasuk memberikan keutamaan kepada pelajar berkeperluan khas serta meningkatkan akses dan kualiti Pendidikan, terutama di DUN Sebatik,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Menurutnya, secara tidak langsung peningkatan infrastruktur serta kemudahan ekonomi akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya dalam sektor pembuatan.
“Beberapa program bantuan sosial yang dirancang diharapkan dapat meningkatkan kesejahteraan ekonomi kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana sekali gus mengurangkan kadar pengangguran.
“Bagi sektor pembangunan modal insan pula ia memberi peluang kepada penduduk Sabah untuk meningkatkan kemahiran dan pendidikan, mempersiapkan mereka kepada cabaran alam pekerjaan masa depan,” katanya.
Hassan berkata, dalam tempoh sama fokus juga harus diberikan kepada pengembangan sumber manusia yang berkualiti tinggi adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
“Ia secara tidak langsung mampu menggalakkan budaya inovasi serta kreativiti dalam kalangan masyarakat di negeri Sabah secara keseluruhanya.
“Belanjawan MADANI dilihat sebagai satu langkah positif dalam usaha memajukan Sabah untuk meningkatkan kualiti hidup penduduknya terutama di kawasan luar bandar,” katanya.
|