OPERASI: Pasukan bomba berjaya menyelamatkan dua remaja di Bukit Bongol.
KOTA BELUD: Dua remaja cedera ketika mendaki Bukit Bongol, Kampung Mandap, di sini, pagi tadi berjaya diselamatkan pasukan bomba.
Mangsa lelaki berusia 15 tahun dan wanita berusia 16 tahun masing-masing cedera di bahagian kaki menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan perjalanan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 9.21 pagi.
Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Jarak perjalanan pasukan bomba ke lokasi kira-kira 1.5 kilometer dan menemukan kedua-duanya dekat dengan puncak bukit.
“Kedua-dua mangsa cedera di kaki dan pasukan bomba menurunkan mangsa dari bukit menuju ke bawah jalan dengan selamat menggunakan junkin stretcher,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Muhammad Syazwan berkata, mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Kota Belud menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.
“Selepas operasi menyelamat berjaya dijalankan, operasi ditamatkan kira-kira jam 11 pagi,” katanya.
|