Isak (depan, kiri) bersama ahli yang lain merakam kenangan sempena Sambutan Hari Tongkat Putih Antarabangsa di Bintulu, Sabtu lepas.
KUCHING: Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Sarawak menggesa pihak berkaitan untuk terus menambah baik kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.
Pengerusinya Isak Ngau berkata, ia terutama sekali kemudahan mesra OKU di bandar-bandar besar di Sarawak.
"Sebagai contoh, laluan (guiding tactile) pandu arah harus diperbanyakkan di kawasan taman rekreasi awam, hospital serta klinik, terminal bas dan lain-lain.
"Ini belum lagi mengambil kira kemudahan-kemudahan yang perlu disediakan dalam bangunan seperti kemudahan lif yang terdapat audio suara bagi mengenal pasti setiap tingkat yang ingin dituju di samping memperbanyakkan tandas mesra OKU," katanya.
Beliau dengan itu berharap pihak berkuasa tempatan termasuk pihak kerajaan harus mengambil kira keperluan yang sangat diperlukan oleh golongan ini dari sudut penambahbaikkan kemudahan mesra OKU di bandar-bandar besar Sarawak.
Beliau berkata demikian pada Program Sambutan Hari Tongkat Putih Antarabangsa di pusat beli-belah tHe Spring Bintulu Sabtu lepas.
Mengenai program yang diadakan Isak berkata, ia melibatkan hampir 100 golongan OKU penglihatan dan seramai 20 orang sukarelawan dari Kolej Vokasional Bintulu yang membantu sebagai pengiring.
Katanya sambutan Hari Tongkat Putih Antarabangsa secara sinonimnya disambut pada 15 Oktober setiap tahun, program itu lebih bersifat ingin menggalakkan masyarakat sekeliling mengetahui betapa pentingnya sebatang tongkat bagi seorang OKU penglihatan.
Dalam program Sambutan Hari Tongkat Putih Antarabangsa kali ini, Isak bersama rakan-rakan yang lengkap berpakaian T-shirt biru berkesempatan melakukan pergerakan demonstrasi bergerak dengan menggunakan tongkat sambil dibantu oleh pengiring dalam pusat beli-belah tHe Spring Bintulu.
"Kami berpeluang bergerak dan meneroka ke semua tempat dalam pusat beli-belah tersebut malah sempat membeli-belah serta beramah mesra dengan penjual dan pengunjung.
"Ini bukan kali pertama pertubuhan kami menganjurkan Sambutan Hari Tongkat Putih Antarabangsa secara besar-besaran.
"Sebelum ini pada tahun 2016 di bandar raya Kuching, kami pernah menjadi tuan rumah untuk Sambutan Hari Tongkat Putih Antarabangsa peringkat kebangsaan yang melibatkan ramai penyertaan golongan OKU penglihatan dari seluruh Malaysia," katanya.
Dengan usaha dan suara golongan ini yang berterusan, Isak dan rakan-rakan percaya kemudahan yang diperlukan akan bertambah baik sekiranya pihak yang berkenaan mengambil berat dalam menyediakan kemudahan-kemudahan mesra OKU di Sarawak.
Tema sambutan kali ini adalah ‘Tongkat Putih Bergerak Bebas Dan Selamat’ kata Isak.
|