Sumbangan bagi tujuan pembangunan dan penyelidikan untuk Sarawak, dijangka beri input terbaik dalam realisasi PCDS 2030
Abdullah (dua kanan) menyerahkan replika cek kepada Ahmad Fauzi . Turut kelihatan Raja Zarith Sofiah (tengah).
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Tanah dan Survei (JTS) menyumbang RM5 juta kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai Dana Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).
Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan JTS, penyerahan replika cek dana itu dilakukan semasa Majlis Santapan Diraja (Royal Gala Dinner 2024) bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang merupakan Canselor UTM di sebuah hotel di Putrajaya semalam.
Ia diserahkan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak Datu Abdullah Julaihi kepada kepada Naib Canselor UTM Profesor Datuk Ahmad Fauzi Ismail dengan disaksikan Raja Zarith Sofiah.
Majlis tersebut meraikan sebanyak 39 agensi penyumbang daripada kerajaan negeri, lembaga profesional, industri, persatuan alumni, institusi perbankan dan beberapa perbadanan komersial UTM yang telah menyumbang sepanjang tahun 2024.
Sumbangan terkumpul melalui platform ini telah mencatatkan kutipan sebanyak RM6.4 juta.
Kenyataan itu menambah, sumbangan RM5 juta Sarawak itu adalah bagi tujuan pembangunan dan penyelidikan yang berkaitan ekonomi hijau, perlombongan, geospatial, Remote Sensing, Marin Kadestra, perubahan cuaca, perancangan bandar dan wilayah, pengurusan bencana, teknologi membran dan beberapa lagi sektor berkaitan dengan program kolaboratif Makmal Satelit JTS-UTM.
Kesemua kajian ini adalah khusus untuk Sarawak dan dijangka akan memberi input yang terbaik dalam merealisasikan PCDS 2030, tambahnya.
Dalam ucapan alu-aluan Ahmad Fauzi melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Sarawak atas sumbangan tersebut dan menzahirkan pujian kepada Kerajaan Sarawak yang sentiasa berada di hadapan dalam memanfaatkan teknologi terkini bagi pembangunan fizikal dan ekonomi yang mampan.
Majlis itu turut dihadiri Pro Canselor UTM Che’ Puan Mahkota Khaleeda, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Pengerusi Lembaga UTM Tan Sri Azman Mokhtar serta Ahli Lembaga Pengarah UTM dan Pengarah JTS Awang Zamhari Awang Mahmood.
|