KUALA LUMPUR: Kaum wanita diseru supaya lebih peka dan sedar kepentingan penjagaan kesihatan terutamanya berkaitan payudara dengan melakukan pemeriksaan berkala bagi pengesanan awal kanser melalui saringan ujian mamogram.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri (gambar) berkata langkah itu bagi membolehkan penyakit berkenaan dirawat awal dengan lebih berkesan sekali gus meningkatkan kadar kelangsungan hidup mereka.
“Statistik Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia bagi 2017-2021 turut merekodkan 50.5 peratus wanita yang menghidapi kanser payudara dikesan pada tahap tiga dan empat meningkat berbanding pada 2012-2016 sebanyak 48 peratus,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini.
Nancy berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Kesedaran Kanser Payudara: Body Perfect’s the Power of Pink 2024 anjuran Body Perfect yang diadakan setiap tahun sebagai tanda sokongan kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA).
Menyedari tahap kesedaran wanita yang masih rendah berkaitan kesihatan payudara, kenyataan itu memaklumkan KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) terus mempergiat kempen kesedaran dan pengesanan awal kanser payudara.
Kesedaran rendah itu dibuktikan melalui dapatan Tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi 2023 yang menunjukkan 71 peratus atau tiga daripada empat wanita berumur 40 tahun ke atas tidak pernah melakukan saringan ujian mamogram dan 46 peratus wanita berumur 18 tahun ke atas tidak melakukan pemeriksaan sendiri payudara.
Bagi ujian pap smear pula, sebanyak 65 peratus wanita berumur 20 tahun dan ke atas tidak melakukan ujian terbabit, menurut kenyataan itu.
Selain itu, kerajaan telah menyediakan subsidi ujian mamogram secara percuma kepada wanita yang layak dan pendaftaran bagi mendapatkan inisiatif ini boleh diakses melalui 50 Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh negara.
Menurut kenyataan itu, KPWKM melalui LPPKN turut melaksanakan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) bagi mempromosikan saringan awal kanser melalui Program Subsidi Ujian Mamogram serta Program Saringan Kanser Serviks (HPV DNA). - BERNAMA
|