TANGKAP: Lapan lelaki kaki judi ditahan dalam serbuan di Kampung Pasir Putih, Tawau.
TAWAU: Lapan lelaki termasuk seorang warga emas disyaki terbabit dengan aktiviti judi sabung ayam ditahan dalam satu serbuan di kawasan Kampung Pasir Putih, di sini petang semalam.
Semua lelaki berusia antara 29 hingga 72 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Tawau, kira-kira jam 5 petang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan itu hasil maklumat awam yang bimbang dengan peningkatan aktiviti judi sabung ayam di kawasan mereka.
“Dalam serbuan itu, seramai lapan individu terdiri daripada empat warga tempatan dan empat lagi warga asing ditahan di gelanggang sabung ayam berkenaan.
“Pasukan serbuan turut merampas empat ekor ayam sabung yang masih hidup, manakala dua lagi sudah mati akibat daripada pertaruhan sabung ayam berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 kerana penganiayaan terhadap haiwan.
Sementara itu, Jasmin menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan mana-mana aktiviti yang menyalahi undang-undang supaya menghubungi polis.
“Maklumat boleh disalurkan maklumat melalui talian hotline Polis Daerah Tawau di talian 089-772121 atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” katanya.
|