|
BEKAS vokalis asal band heavy metal popular dunia Iron Maiden, Paul Di’Anno, meninggal dunia pada usia 66 tahun di Salisbury, England, semalam.
Khabar pilu itu dikongsikan syarikat rakaman Conquest Music menerusi hantaran dalam media sosial mereka.
Begitupun, pihak terbabit tidak memperincikan butiran lanjut berhubung perkara terbabit termasuk punca kematiannya.
Conquest Music hanya menyebut Di’Anno atau nama sebenarnya, Paul Andrews menghembuskan nafas terakhir di kediamannya dalam keadaan tenang.
Di’Anno meraih kemasyhuran sebaik menyertai Iron Maiden pada 1978 dengan dua album yang sukses iaitu buah tangan debut menggunakan nama band itu terbitan tahun 1980 disusuli album kedua berjudul Killers setahun kemudian.
Berikutan isu peribadi, mendiang mengambil keputusan keluar dari kumpulan tersebut selepas pelancaran Killers dan posisinya digantikan Bruce Dickinson.
Selepas meninggalkan Iron Maiden, Di’Anno menganggotai beberapa band lain seperti Battlezone dan Killers termasuk aktif sebagai penyanyi solo.
Pernah mengakui obses berhibur sehingga meninggalkan imej buruk kepada dirinya dan kredibiliti Iron Maiden, beliau tidak pernah menyalahkan rakan lain atas keputusan diambil.
“Saya tidak mampu memberi komitmen 100 peratus lagi untuk Iron Maiden ketika itu. Jadi, idak adil untuk mereka, peminat dan diri saya juga,” katanya dalam satu temu bual.
Sejak beberapa tahun lalu, Di’Anno berdepan masalah kesihatan, namun masih mampu mengadakan persembahan walaupun berkerusi roda.
Berdasarkan semakan, sehingga tahun lalu beliau sudah mengadakan lebih 100 persembahan pentas.
Sumber – KOSMO! ONLINE |
|