LAWAT: James melawat salah satu pameran semasa Program Kesejahteraan Mendepani Keganasan Rumah Tangga.
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan peningkatan kes keganasan rumah tangga tahun ini dengan mencatatkan 435 kes yang dilaporkan tahun lalu berbanding hanya 382 kes yang direkodkan pada 2022.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib berkata, laporan dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Kontinjen Sabah itu menunjukkan kes jenayah rumah tangga di Sabah adalah membimbangkan.
Katanya, tahun ini pula laporan menunjukkan sebanyak 107 kes keganasan rumah tangga direkodkan hanya dalam tempoh antara Januari hingga Februari lalu.
“Peningkatan angka ini amat membimbangkan, oleh itu saya menyeru semua pihak berkaitan terutama Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) supaya melaksanakan lebih banyak program kesedaran bagi memberi pendedahan kepada rakyat berhubung isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.
“Ini kerana implikasi atau kesan keganasan terhadap mangsa amat berat sekali sama ada dari aspek fizikal atau mental mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Kesejahteraan Mendepani Keganasan Rumah Tangga sempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita, di sini.
Hadir sama Pengarah JHEWA Sabah, Haslina Ismail, selaku penganjur program berkenaan yang turut dihadiri pelbagai pihak berkaitan, termasuk peguam dan kaunselor, selain badan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, James berkata, program Kesedaran Menangani Keganasan Terhadap Wanita adalah inisiatif baharu yang dimasukkan dalam Program Flagship ‘Outreach Santuni Wanita’ Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) melalui JHEWA.
“Program ini ialah inisiatif baharu projek berimpak tinggi sektor modal insan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan hala tuju kementerian bagi tahun 2021 hingga 2025 di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Sehingga tahun ini, program Outreach Santuni Wanita sudah diadakan di 55 kawasan DUN dengan lebih 4,900 peserta,” katanya.
Katanya, program itu turut menyediakan bantuan khidmat nasihat dengan kerjasama 16 panel peguam dan tujuh panel kaunselor yang berdaftar dwngan JHEWA.
“Ini adalah langkah yang baik kerana masyarakat perlu tahu ke mana perlu pergi bagi mendapatkan khidmat sokongan dan perlindungan.
“Pada masa kini keganasan bukan saja berbentuk kekerasan. Definisi ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah wanita turut dikira sebagai keganasan dalam bentuk penderaan psikologi dan emosi.
“Jika seorang wanita sering didorong untuk bergantung kepada pasangan masing-masing dan diasingkan dari mendapat sokongan luar pula, ia boleh dikategorikan sebagai penderaan sosial,” katanya.
James berkata, dengan adanya panel peguam dan kaunselor di JHEWA, ia dapat membantu masyarakat dari segenap aspek berkaitan agar nasib mereka terbela sebaik mungkin.
“Hakikatnya, dengan adanya persekitaran yang selamat, ia secara langsung akan meningkatkan pengupayaan rakyat khususnya wanita dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sosial dan kepimpinan.
“Ia juga dapat memastikan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara, khususnya di Sabah,” katanya.
|