LO SU FUI
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu mewujudkan koordinasi dengan kementerian lain bagi menyelesaikan masalah di Lapangan Terbang Tawau (LTT).
Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman projek naik taraf LTT bernilai RM130 juta daripada menteri MOT baru-baru ini.
Katanya, projek naik taraf itu adalah satu khabar gembira buat rakyat di Tawau dan sudah semestinya dapat melonjakkan lagi jumlah kehadiran pelawat ke daerah ini.
“Namun, sementara menunggu projek itu dilaksanakan dan disiapkan sepenuhnya perlu ada langkah jangka masa pendek dilakukan supaya menangani masalah kesesakan yang berlaku di LTT.
“Ketika ini, saya melihat MOT tidak mempunyai komunikasi yang jelas dengan kementerian lain terutamanya melibatkan situasi di LTT,” katanya semasa sesi Perbahasan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, ketiadaan komunikasi ini sekali gus menimbulkan kekeliruan yang membawa masalah kesesakan dan mengancam keselamatan penumpang hampir dua juta di LTT sehingga September ini.
Sebagai contoh, katanya, sekiranya penerbangan kapal terbang ditambah, perlunya juga kakitangan seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penjaga kaunter ditambah.
“Sekali pun naik taraf lapangan terbang sudah dilakukan, tetapi jika tiada koordinasi yang baik, masalah kesesakan tetap juga akan berlaku.
“Justeru, saya mencadangkan MOT perlu mengetuai koordinasi dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk masalah di LTT,” katanya.
|