KUCHING: Tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak direman empat hari bagi membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan rasuah membabitkan dokumentasi permit kerja lima pendatang warga Indonesia.
Perintah reman yang berkuat kuasa hari ini hingga 1 November itu diluluskan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali di Mahkamah Majistret di sini.
Tiga pegawai imigresen itu termasuk dua lelaki dan seorang wanita, didakwa terbabit dalam meminta dan menerima rasuah antara RM3,000 hingga RM5,000 daripada majikan migran.
Rasuah itu didakwa diminta untuk mendapatkan permit kerja bagi lima pendatang itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Ketiga-tiga suspek diwakili peguam Ralph Lee.
|