Keadaan rumah panjang kaum Penan di Ba Abang Long Sepatai, Ulu Baram yang dilaporkan musnah dalam kebakaran semalam.
MIRI: Sebuah rumah panjang kaum Penan yang terletak di Ba Abang, Long Sepatai di Ulu Baram dilaporkan musnah dalam kebakaran yang berlaku semalam.
Bagaimanapun, masa sebenar kebakaran berlaku belum dapat dipastikan kerana belum ada maklumat sahih dari penduduk terlibat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 9.09 malam.
"Walau bagaimanapun, belum ada maklumat terkini berhubung jumlah penduduk yang terlibat memandangkan pihak bomba tidak dapat menghubungi penduduk di kawasan terlibat.
"Berikutan keadaan jalan dan faktor cuaca, pihak bomba hanya dapat bergerak ke lokasi pagi ini untuk mengesahkan kebakaran," kata kenyataan itu.
Manakala perjalanan dari balai ke lokasi mengambil masa enam hingga tujuh jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, Maureen Sim Ai Lian memaklumkan pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada seorang pemanggil yang memaklumkan rumah panjang tersebut telah musnah seratus peratus.
|