PENGEDAR: Suspek disyaki pengedar dadah ditahan menerusi Op Tapis.
BELURAN: Seorang lelaki warga asing disyaki pengedar dadah ditahan dalam operasi 'Op Tapis' di tepi jalan Kampung Sungai-Sungai, Paitan, di sini, semalam.
Suspek berusia 28 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran, kira-kira jam 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, pihaknya mengesan dan menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan tugas Op Tapis di kampung berkenaan.
Katanya, hasil soal siasat, suspek mengaku memiliki dadah jenis syabu dan menyerahkan beg sandang yang dipakainya.
“Hasil pemeriksaan di dalam beg sandang itu, menemukan 14 bungkusan plastik lutsinar dan setiap satu berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Jumlah anggaran berat kasar dadah adalah seberat 52 gram. Suspek ditahan dan barang kes dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, suspek terbabit adalah warga asing dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan polis masih mengesan rangkaian pengedaran dadah bagi siasatan lanjut.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1953,” katanya.
Sementara itu, Hasan menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang di negara ini.
“Polis mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk sama-sama membanteras kegiatan ini,” katanya.
|