CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 28552|Reply: 0

[Sabah] Rakyat Sabah mahu pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo disiapkan segera

[Copy link]
Post time 5-11-2024 10:32 PM | Show all posts |Read mode


Gambar fail BERNAMA

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah menggesa semua pihak terlibat terutama kontraktor supaya mempercepatkan penyiapan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dan tidak membiarkannya mengalami kelewatan seperti dialami Fasa 1A.

Ini kerana Kerajaan Persekutuan dan negeri telah melakukan sedaya upaya untuk merealisasi projek tersebut, termasuk usaha terbaru dengan menyediakan peruntukan RM9.7 bilion dalam Belanjawan 2025 bagi memastikan projek itu dapat disiapkan mengikut jadual.

Presiden Persatuan Penunggang Motosikal Berkuasa Besar Sabah Datuk Osman Ahmed berkata dengan mempercepat pembinaan lebuh raya itu, ia akan membuka pintu pertumbuhan ekonomi yang lebih besar, sekali gus meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk setempat.

Beliau berkata sebagai contoh dengan adanya lebuh raya itu, persatuan tersebut dapat menjemput lebih ramai penunggang motosikal dari luar Sabah dan luar negara, untuk datang menjelajah keindahan Negeri di Bawah Bayu itu, sekali gus membantu mengembangkan sektor pelancongan negeri.

“Saya berharap agar proses pembinaan lebuh raya itu berjalan lancar dan mengikut seperti yang telah dijadualkan, sekali gus akan dapat memberi impak positif terhadap pembangunan negeri Sabah secara keseluruhan.

“Selain sektor pelacongan, ia juga akan dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan pelaburan setempat di kawasan sepanjang laluan lebuh raya berkenaan, jadi kita perlu mempercepat projek ini,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Pada 18 Oktober, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 berkata 17 pakej kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1B telah dikeluarkan Sijil Setuju Terima (SST) dengan nilai kontrak RM9.7 bilion, meliputi jajaran Kota Belud ke Kudat, Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau.

Pada 29 Julai, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1A kini mencapai tahap 77.41 peratus dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada 2026.

Beliau berkata Fasa 1A sudah sepatutnya siap, namun disebabkan pelbagai masalah antaranya masalah koordinasi antara pihak terlibat terutama kontraktor, agensi kerajaan dan konsultan, menjadikan penyiapan projek itu mengalami kelewatan.

Presiden Barisan PenggunaSabah (CFOS) Nordin Thani berkata tiada lagi alasan yang wajar diterima apabila berlaku kelewatan untuk menyiapkan projek berkenaan kerana sebagai kontraktor, mereka sudah tahu tanggungjawab yang perlu dibuat sebelum bersetuju menerima satu-satu projek itu.

Beliau berkata lebuh raya berkenaan perlu disiapkan segera bagi mengelak berlaku kemalangan jalan raya di kawasan pembinaan, disebabkan kelemahan langkah keselamatan yang diambil pihak kontraktor dan agensi berkaitan di kawasan projek.

“Kita minta pihak kerajaan, agensi yang terlibat mesti mengambil kira keselamatan pengguna kerana lagi lambat disiapkan lagi banyak kemalangan jiwa akan berlaku. Utamakan keselamatan pengguna jalan raya dengan meletakkan papan tanda, mahupun arah laluan lencongan yang jelas di jalan raya,” katanya.

“Kontraktor yang terlibat dalam projek berkenaan diingatkan agar menekankan faktor keselamatan sepanjang proses pembinaan jalan raya itu dijalankan.

Keselamatan pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki perlu diutamakan terlebih dahulu dengan pemantauan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Pemandu bas ekspres bagi laluan Kota Kinabalu-Lahad Datu-Kunak-Semporna Azmil Abdul Rauf, 40, juga berharap laluan berkenaan dapat direalisasikan, agar perjalanan ke Pantai Timur dapat dipendekkan daripada 10 jam kepada lapan jam.

Beliau yang telah memandu bas ekspres selama 15 tahun berkata dengan adanya laluan baharu itu, ia bukan sahaja menjimatkan waktu perjalanan tetapi juga kos kerosakan kenderaan dapat dikurangkan, kerana jalan raya telah elok.

“Diharapkan projek ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana kita di Sabah amat memerlukannya,” katanya.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-11-2024 10:02 AM GMT+8 , Processed in 0.781325 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list