SIBU: Pustaka Negeri Sarawak (Pustaka) Sibu akan menganjurkan Pesta Buku Sarawak x Festival Penulis Sarawak 2024 (SBF x SAF) dari 7 hingga 10 November ini. Dalam satu kenyataan, Pustaka Sibu berkata program itu akan dibuka kepada orang ramai dari jam 9 pagi hingga 5 petang di premisnya di sini.
“Pesta Buku Sarawak 2024 adalah inisiatif Pustaka Negeri Sarawak untuk memperkenalkan khazanah industri penerbitan tempatan dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia kepada komuniti setempat.
“Program ini bertujuan untuk memupuk budaya membaca yang sihat dalam kalangan orang ramai serta menyediakan platform berharga bagi interaksi dan jaringan antara penerbit, entiti kebudayaan, dan penulis,” jelas kenyataan itu.
Pustaka Sibu turut menggalakkan jabatan kerajaan untuk mengadakan pameran bagi memperkenalkan perkhidmatan mereka kepada masyarakat
Ini sekali gus mencerminkan komitmen terhadap interaksi langsung dengan peserta, di samping menginspirasi masyarakat untuk menerapkan pembelajaran sepanjang hayat melalui minat membaca.
Tema bagi program tahun ini adalah Teknologi Pengetahuan dengan objektif utama untuk menggalakkan kreativiti dalam penulisan dalam kalangan penulis tempatan, bagi memelihara warisan kesusasteraan Sarawak.
“Pelbagai program menarik akan disediakan kepada pengunjung, termasuk bengkel, pameran, ceramah Sarawakiana dan pelbagai lagi.
“Program ini turut melibatkan pelbagai rakan kolaborasi, termasuk agensi, jabatan, dan artis tempatan yang menyokong kelancaran acara ini,” tambah kenyataan tersebut.
Justeru, orang ramai digalakkan untuk turut serta dalam program ini bagi memupuk minat dalam bidang penulisan, selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan penulis dan penerbit tempatan mengenai kepentingan menyerahkan bahan terbitan di Sarawak.
Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada semua peringkat umur.
Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Mohd Feizul Median di 084-315 200 (samb. 222), Nurul Azzila Abdul Rasid di 084-315 200 (samb. 227), Nur Amanina Mastani di 084-315 200 (samb. 201), atau Norzieana Mohammad Nasir di 084-315 200 (samb. 201).
|