BINTULU: Polis sedang mengesan dua lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tembak di tempat letak kereta sebuah hotel di sini pada 7 November lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixon Joshua Ali (gambar), setakat ini, hanya dua suspek telah ditangkap berhubung kes itu.
"Setakat ini, hanya dua suspek sudah ditangkap berkaitan dengan kes ini yang mana kedua-duanya telah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan," ujarnya.
Nixon dalam masa sama berkata pihaknya belum dapat mendedahkan butiran lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 11.48 malam Khamis lalu, mangsa yang dikenali sebagai Peter Ling Deng Sing dari Sibu telah maut ditembak di tingkat empat tempat letak kereta berkenaan.
Susulan itu katanya, dua suspek lelaki yang merupakan warganegara Brunei dan Miri berumur 36 dan 43 tahun ditangkap polis di Miri pada awal pagi berikutnya (8 November).
|