Royston ketika membahaskan RUU Pengagihan Gas 2024 pada Persidangan DUN hari ini. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Pindaan kepada Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan) 2024 adalah langkah strategik untuk memajukan industri tenaga di Sarawak, kata Royston Valentine (GPS-Telian).
Beliau berkata, ia bukan sahaja akan meningkatkan keselamatan dan keberkesanan pengurusan sumber tenaga di Sarawak, malah membuka peluang baharu untuk inovasi dalam sektor tenaga hijau.
Menurutnya, pindaan ini selari dengan usaha kerajaan menerajui sektor tersebut sehinggalah diiktiraf di peringkat dunia sebagai wilayah yang sangat komited dalam menerokai sumber tenaga baharu ini.
“Secara ringkasnya, pindaan kepada Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan) 2024 ini merupakan langkah penting dalam mengawal selia industri hidrogen di Sarawak. “Ia menyediakan rangka kerja perundangan yang komprehensif untuk memastikan pembangunan mampan industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengagihan Gas (pindaan) 2024 yang dibentangkan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Menurut beliau juga, pindaan ini bukan sahaja bertujuan memperbaharui undang-undang sedia ada tetapi juga untuk memastikan bahawa Sarawak sentiasa berada di barisan hadapan dalam penggunaan dan pengeluaran hidrogen sebagai sumber tenaga alternatif selain daripada bahan bakar fosil.
Safiee ketika membahaskan RUU Pengagihan Gas 2024 pada Persidangan DUN hari ini. - Gambar Roystein Emmor
Sementara itu, Safiee Ahmad (GPS-Daro) menyatakan pindaan terhadap undang-undang ini mampu membuka peluang yang lebih besar dalam industri hidrogen di Sarawak di samping meningkatkan sosioekonomi negeri.
Menurut beliau, ia antara lainnya membuka peluang dalam pekerjaan dan pelaburan, menyokong perniagaan tempatan, selain meletakkan Sarawak sebagai pengeksport utama dalam hidrogen hijau.
Tambah beliau juga, kesedaran yang semakin meningkat tentang kepentingan tenaga hijau dalam kalangan masyarakat Sarawak juga telah membawa kepada peningkatan tumpuan untuk membangunkan kepakaran teknikal dan kemahiran interpersonal.
“Ini memastikan rakyat Sarawak bersedia untuk tenaga kerja, sekali gus menyumbang secara langsung kepada aspirasi PCDS 2030 untuk meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut.
Tambahnya, langkah Kerajaan Sarawak memperkenalkan dasar ekonomi hijau adalah sangat tepat pada masa ini susulan terdapat cabaran global masa kini seperti iklim yang tidak menentu, pemanasan global, pencemaran oleh gas rumah hijau dan sebagainya.
|