KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan RM3.75 juta untuk Program Pemerkasaan Isi Rumah Berpendapatan Rendah pada tahun depan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, program pemerkasaan itu untuk membantu seramai 750 keluarga berpendapatan rendah memulakan perniagaan kecil.
Ia katanya, adalah antara pelbagai program yang bertujuan melengkapkan wanita dan kumpulan rentan dengan pengetahuan serta kemahiran keusahawanan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah mereka.
“Sebanyak RM2.5 juta akan diperuntukkan kepada Usahawan Mikro Kebajikan bagi menyokong usahawan mikro daripada kumpulan B40, orang kurang upaya, ibu tunggal dan janda melalui latihan, bantuan modal dan akses pasaran.
“Malah kita turut akan menyediakan peruntukan sebanyak RM494,000 untuk Latihan Kemahiran Wanita dalam bidang masakan, kecantikan, spa dan menjahit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2025 (Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak juga akan terus menyediakan pembiayaan untuk penubuhan pusat baharu dan operasi pusat sokongan sosial yang sedia ada untuk kumpulan rentan, berisiko dan terjejas tahun depan.
Antaranya kata beliau, sebanyak RM3.08 juta akan diperuntukkan bagi penubuhan dan operasi Pusat Sokongan Sosial Komuniti di Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Lawas dan Mukah.
“Manakala RM1.8 juta akan diperuntukkan bagi operasi Tempat Transit Gelandangan sedia ada di Sibu, Kuching, Miri dan Bintulu serta RM1.5 juta lagi untuk penubuhan Pusat Komuniti Keperluan Khas.
“Kira-kira RM737,000 juga akan diperuntukkan bagi penubuhan Pusat Perlindungan Sementara bagi Komuniti Pemulihan Berpendapatan Rendah di Sibu dan Bintulu,” kata beliau.
|