Nancy ketika melakukan upacara simbolik penutupan Promosi dan Advokasi Industri Penjagaan, Dalam Konteks JKM Sebagai Badan Peneraju, Dalam Sektor Penjagaan dan Perkhidmatan Komuniti Zon Sarawak 2024 hari ini. - Gambar Penerangan
KUCHING: Kerajaan Malaysia sedang memberi tumpuan utama kepada pengembangan untuk industri penjagaan kanak-kanak dan warga emas dalam negara ekoran permintaan yang kian meningkat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata bagi menyokong usaha itu pihaknya sudah memulakan latihan serta jerayawara untuk 385 orang pelatihnya pada tahun ini.
"Itu sudah menjadi satu proses yang mungkin akan terus berlaku kepada negara kita. Jadi, ini merupakan industri yang baru dikatakan berkembang lagi kerana memang kita sudah mempunyai penjaga tetapi belum ramai dan belum tinggi tahap dari segi pensijilannya.
"Kita mahu mereka sekurang-kurangnya mendapat sehingga ke tahap diploma. Yang ada sekarang, masih sijil di tahap 4.
“Kita hendak meningkatkannya lagi. Jadi, inilah fokus kami sekarang," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Nancy sebelum itu telah merasmikan penutupan Promosi dan Advokasi Industri Penjagaan, Dalam Konteks JKM Sebagai Badan Peneraju Dalam Sektor Penjagaan dan Perkhidmatan Komuniti Zon Sarawak 2024 yang diadakan di Bangunan Sultan Iskandar di sini.
Beliau malah menambah, trend baharu berkenaan bukan sekadar penjagaan tetapi memerlukan satu cara yang khusus bagi penjagaan dewasa atau warga emas.
Katanya pembangun hartanah kini harus sedar dan perlu melihat akan prospek untuk membangunkan hartanah bagi golongan warga emas yang berkemampuan.
"Mereka bukan lagi memerlukan untuk penjagaan tetapi perlukan satu lagi trend yang lain di mana mereka mahu tempat perumahan mereka sendiri yang bersifat peribadi," jelasnya.
Menyentuh mengenai program tersebut, beliau berkata fokus industri penjagaan akan diteruskan pada tahun mendatang sebagai persediaan kepada negara menua yang bakal dialami Malaysia.
Pada masa ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam rangka membangunkan satu pelan tindakan berkaitan industri penjagaan itu.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melaksanakan tiga siri jerayawara sebelum ini di Zon Tengah yang melibatkan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Zon Selatan melibatkan Negeri Sembilan dan Melaka manakala Zon Utara melibatkan Kedah dan Pulau Pinang.
Semalam, seramai 250 orang yang terdiri daripada kakitangan JKM, pengusaha dan pengasuh Pusat Jagaan Kanak-Kanak, OKU dan Warga Emas serta sukarelawan telah menyertai program itu.
|