Abang Mohamad Porkan (lima dari kiri) dan yang lain menunjukkan tanda ’X’ sebagai tanda katakan tidak kepada dadah sebelum tayangan filem tempatan ’No More Drugs' bermula di King's Trioplex di Sibu, malam tadi.
SIBU: Pendekatan baharu dalam kempen anti dadah melalui tayangan filem diyakini sebagai lebih berkesan dalam menyampaikan mesej bahaya dadah.
Menurut Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, dadah masih menjadi musuh nombor satu negara, mengakibatkan masalah kesihatan dan sosial yang serius.
Justeru, usaha-usaha kreatif seperti ini amat penting untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat, katanya.
"Kita tidak mahu anak-anak kita, remaja-remaja sekolah, dan pelajar-pelajar menjadi ketagih, serta menjadi masyarakat yang tidak berguna disebabkan oleh masalah ketagihan dadah dan bahan terlarang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada tayangan percuma khas filem tempatan bertajuk 'No More Drugs' di King's Trioplex di sini, malam tadi.
Beliau percaya, pendekatan tayangan filem ini merupakan satu langkah yang lebih dekat dan berkesan kepada penonton, berbanding kempen-kempen tradisional yang biasanya berupa ceramah dan tunjuk ajar.
Melalui kaedah ini, katanya, mesej bahaya dadah dapat disampaikan dengan cara yang lebih menarik dan mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat.
"Sebelum ini, program-program anti dadah oleh setiap jabatan berkaitan sering kali tidak mencapai tahap kesedaran yang diharapkan kerana pengunjung atau penonton tidak memberi fokus sepenuhnya.
"Namun, kaedah baharu ini dilihat mampu memberi impak yang lebih mendalam dan kesedaran yang lebih besar terhadap bahaya dadah," katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana menggunakan platform panggung wayang untuk membasmi dan menjelaskan bahaya dadah kepada masyarakat.
"Pendekatan ini bukan sahaja membantu meningkatkan kesedaran, tetapi juga melibatkan masyarakat secara langsung dalam usaha memerangi dadah," tambahnya.
Dalam pada itu, Abang Mohamad Porkan menyeru semua pihak, termasuk keluarga dan masyarakat, untuk memainkan peranan aktif dalam kempen anti dadah ini.
Dengan sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat, diharapkan masalah dadah dapat dibanteras dengan lebih berkesan, tambahnya.
Sementara itu, tayangan ini ditaja oleh Jawatankuasa Sehenti Daerah Sibu (OSC) dan dianjurkan oleh Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu.
Tayangan ini turut dianjurkan bersama Pejabat Pendidikan Daerah Sibu, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kelab Lions Sibu, Cabs Media Enterprise dan AM Media Production.
Masa tayangan adalah pada pukul 10 pagi, 3 petang dan 7 malam, dan sebanyak 1,500 tiket telah diagihkan.
|