Remaja dan kanak-kanak golongan sasar mudah terdedah dengan lambakan, tarikan pelbagai jenis produk merokok
Sulaiman (kanan) menunjukkan simbol ‘Dilarang Merokok’ pada Simposium Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024 Peringkat Daerah Limbang semalam.
LIMBANG: Remaja dan kanak-kanak golongan sasar mudah terdedah dengan lambakan dan tarikan pelbagai jenis produk merokok.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata peningkatan populariti rokok elektronik dan kantung nikotin kalangan golongan muda adalah sangat membimbangkan.
“Dianggarkan 300,000 orang kanak-kanak dan remaja berumur 10 hingga 19 tahun menggunakan tembakau dan e-rokok di negara ini.
“Oleh itu, langkah pencegahan perlu dimulakan dengan generasi muda kerana ia lebih efektif daripada merawat mereka untuk berhenti merokok dan penyakit akibat komplikasi tabiat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal pada Simposium Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024 Peringkat Daerah Limbang, Klinik Berhenti Merokok Hospital Limbang di Dewan Kampung Bunga Raya di sini semalam.
Turut sama Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr Nurliza Jusoh dan Pengarah Hospital Limbang Dr Nur Ain Yahya.
Ahli Parlimen Limbang itu berkata, tiga penyebab utama dikemukakan untuk penggunaan rokok elektronik adalah perisa, persepsi dan risiko lebih rendah berbanding merokok dan lebih keseronokan.
“Merokok mendatangkan bahan serius baik kepada golongan kanak-kanak mahupun dewasa.
“Kanak-kanak terdedah kepada asap rokok lebih berisiko menghadapi masalah kesihatan dan seterusnya mengganggu perkembangan, tumbesaran dan pendidikan mereka.
“Pelbagai usaha dijalankan semua peringkat termasuk di institusi pendidikan untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada golongan muda mengenai kesan negatif penggunaan tembakau,” jelasnya.
Hasbi berkata, bagi tema tahun ini iaitu 'Lindungi Kanak-kanak Daripada Pengaruh Industri Tembakau' adalah dengan meningkatkan langkah kawalan tembakau selain memberi pendedahan awal kepada anak-anak mengenai bahaya merokok.
|