Pasukan SAR yang diketuai Rary (berdiri depan, dua kanan) bergambar bersama mangsa (berseluar pendek) di pekarangan rumah keluarganya di Kampung Beraya Batu 1 pagi tadi.
MIRI: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 11 hari lalu ditemui selamat oleh penduduk kampung di sebuah pondok kebun di kawasan Ulu Beraya, pagi tadi. Sebaik ditemui, Budi Budin, 39, dihantar pulang ke rumah keluarganya di Kampung Beraya Batu 1 menggunakan sebuah motosikal.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah Rary Binjie, sekitar jam 7.45 pagi, pihaknya menerima panggilan daripada Ketua Balai Polis Bekenu yang memaklumkan penemuan mangsa.
Berikutan itu katanya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai beliau sendiri selaku komander operasi pergi ke rumah mangsa untuk mendapatkan maklumat berkaitan penemuannya.
"Mangsa telah ditemui oleh orang kampung sekitar jam 7 pagi ini di sebuah pondok kebun di kawasan Ulu Beraya yang terletak sejauh 15 kilometer dari rumah mangsa.
"Semasa ditemui, mangsa dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Rary, setelah berbincang dengan pihak polis, operasi SAR yang masuk hari keenam hari ini ditamatkan serta-merta.
Terdahulu, pada 8 November lalu, BBP Batu Niah dimaklumkan tentang kehilangan Budi yang dilaporkan telah keluar rumah sejak 2 November dan sepatutnya melapor diri ke pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan pada 5 November, tidak pulang ke rumah sehingga pemakluman dibuat kepada pihak bomba.
Laporan polis berhubung kehilangan lelaki terbabit telah dibuat oleh ahli keluarganya di Balai Polis Bekenu.
Ketika keluar rumah, mangsa dilaporkan memakai baju lengan panjang, seluar pendek berbunga dan berselipar.
|