ALBUM: Sebahagian yang terlibat merakamkan gambar kenangan selepas Program Bengkel Penulisan Kamus Dusun Liwan yang diadakan di Bilik Galeri Muzium Warisan bahagian Pedalaman Keningau.
KENINGAU: Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Datuk Seri Panglima GS Sundang Keningau dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Dusun Bunduliwan Sabah (PKDBLS) telah mengadakan Program Bengkel Penulisan Kamus Dusun Liwan (PBPKDL) baru-baru ini.
Bengkel sehari yang diadakan di Bilik Galeri Muzium Warisan bahagian Pedalaman Keningau itu dirasmikan Presiden PKDBLS, Harry Gitik yang turut dihadiri oleh guru-guru SAANS dan pemegang adat daripada buah kampung dalam zon Liawan, Apin-Apin dan zon Seberang.
Pengerusi Penganjur, Rozie Gitang memberitahu matlamat utama program itu ialah untuk menanamkan kesedaran dalam kalangan peserta untuk sama-sama memainkan peranan dalam melestarikan bahasa ibunda (Dusun Liwan) yang kini mengalami kemerosotan penguasaan oleh golongan generasi muda.
"Kekurangan bahan rujukan ilmiah dalam bahasa ibunda seperti kamus dalam bahasa ibunda ada lah antara faktor yang menyebabkan situasi ini berlaku.
"Kegagalan institusi keluarga dalam menerapkan kemahiran dan minat berbahasa ibunda kepada anak-anak mereka sejak kecil juga menjadi punca utama yang menyebabkan kelemahan berbahasa ibunda dalam kalangan generasi muda kaum Dusun hari ini, yang jika dibiarkan akan memberi kesan yang amat negatif seperti kepupusan penutur bahasa ibunda dan akhirnya kehilangan identiti bangsa," katanya.
ROZIE GITANG
Rozie yang juga Pengerusi SAANS menambah, usaha perlu dilakukan oleh golongan tua hari ini yang masih berbahasa ibunda untuk menimbulkan semua motivasi dan minat serta kesedaran yang mendalam dalam kalangan generasi muda kerana mereka inilah yang akan meneruskan legasi bangsa dusun ini.
Tokoh Kebudayaan peringkat Keningau, Tindarama Rayner Udog turut berkongsi pengalaman dan pandangannya tentang masalah dan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh KDCA yang beliau sendiri selaku Pengerusi bahasa ibunda KDCA.
Beliau memuji usaha yang dilakukan mengadakan program itu bersama ketua-Ketua Pemegang Adat peringkat kampung kerana mereka adalah golongan yang paling dekat dengan masyarakat serta mempunyai kepakaran dan kemahiran bukan sahaja dari segi bahasa, kebudayaan tetapi tentang adat resam masyarakat Dusun yang diwarisi turun temurun.
|