RAIKAN BERSAMA: Dr Sim (lima kanan) bersama tetamu kenamaan lain melakukan simbolik perasmian majlis makan malam tersebut semalam.
SIBU: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata Malaysia memerlukan kedua-dua pasukan dan individu dalam usaha pembinaan negara. Menurutnya, ini mesti disertai dengan nilai-nilai mereka untuk membina budaya kecemerlangan dalam komuniti.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak adalah RM5.8 bilion pada tahun 2018.
Beliau berkata, angka ini dijangka meningkat kepada RM15.8 bilion pada tahun depan.
"Apa yang kami bimbang sekarang adalah apabila populasi meningkat, kerajaan perlu menjaga keperluan rakyat yang semakin banyak serta keperluan aktiviti keagamaan mereka," katanya.
Dr Sim berkata demikian pada Majlis Makan Malam anjuran bersama Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia, Persatuan Penjaja Sibu dan Persatuan Penjaja Sarawak di sini, semalam.
Penjaja-penjaja di Sarawak tegasnya, adalah sebahagian daripada pasukan pembinaan negara ini.
Tanpa sumbangan mereka menurutnya lagi, kemakmuran Sarawak tidak akan wujud seperti hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah itu berkata, dari kampung ke bandar mereka sentiasa berkomitmen hingga menjadikan mereka sebagai usahawan.
"Mereka semua adalah semangat sebenar anak Sarawak dan pembina ekonomi," katanya.
Dr Sim berkata, zaman sedang berkembang dengan transformasi yang menyaksikan kemunculan kenderaan elektrik.
Beliau juga berkata transformasi ini menyaksikan kemunculan teknologi kepintaran buatan atau AI yang akan membawa Sarawak kepada pencapaian yang lebih besar.
"Penjaja-penjaja ini mencerminkan kehidupan rakyat dan keperluan mereka," ujarnya sambil berharap solidariti penjaja ini akan terus membentuk ekonomi Sarawak. "Oleh kerana sumbangan rakyat, kita telah melihat transformasi besar.
"Menjelang 2030, kita akan melihat lebih banyak sumbangan mereka yang akan mengubah wajah Sarawak," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Dr Sim menambah bahawa 70 peratus klinik di Sarawak berada dalam keadaan daif.
"Oleh itu, kita memerlukan autonomi dalam bidang perubatan dan pendidikan," tambahnya.
Beliau berharap dengan usaha gigih rakyat, Sarawak akan menuju kepada pencapaian yang lebih besar sambil memberi jaminan bahawa kerajaan akan membantu dalam membangunkan negeri ini bersama rakyat.
|