Awang Tengah semasa ditemui media selepas menyempurnakan upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi bagi edisi bulan November di Dataran Ibu Pertiwi hari ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Penemuan 20 spesies katak baharu di Sarawak menjadi indikator jelas bahawa alam sekitar negeri ini berada dalam keadaan sihat dan terpelihara.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia susulan daripada taklimat yang diberikan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) berhubung penemuan tersebut.
Katanya, penemuan spesies katak baharu itu adalah hasil daripada penyelidikan kolaboratif melibatkan saintis tempatan dan antarabangsa.
“Saya terkejut tengok bermacam-macam jenis katak yang ditemui hasil daripada penyelidikan yang dibuat dengan orang kita serta penyelidik dari negara luar.
“Daripada hasil kajian ini, kita dapat melihat begitu banyak spesies yang berbeza-beza, ada yang kelihatan seperti burung malah ada juga bentuk lain yang unik,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi bagi edisi bulan November di Dataran Ibu Pertiwi di sini, semalam.
Awang Tengah berkata, penemuan itu juga menunjukkan ekosistem Sarawak sangat sesuai untuk habitat spesies katak tersebut, sekali gus mencerminkan kekayaan flora dan fauna di negeri ini.
“Ini juga menjadi petunjuk kukuh bahawa alam sekitar kita berada dalam keadaan sihat.
“Jika tidak, katak-katak ini tidak akan dapat bertahan dan membiak,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak penyelidikan dilakukan untuk mengkaji spesies katak dan tumbuhan lain yang ada di negeri ini.
Sebelum ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan kepentingan Taman Negara Tanah Lembap dalam mengkaji perubahan iklim terutama berkaitan potensi penyimpanan karbon melalui hutan bakau dan ekosistem lain.
“Taman negara ini merupakan tempat tinggal bagi pelbagai spesies, termasuk 20 spesies katak baharu yang ditemui di Sarawak.
“Ini adalah petunjuk kepada perubahan iklim. Justeru, saya berharap kita dapat menyumbang untuk mengenal pasti trend perubahan iklim dunia yang juga merangkumi usaha mengumpul dana bagi mencari penyelesaiannya,” ujarnya semasa majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SFC pada Jumaat lalu.
|