CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 22030|Reply: 0

[Sarawak] Skim tiket penerbangan percuma untuk pelajar cemerlang wajar diperkenal

[Copy link]
Post time 19-11-2024 12:35 PM | Show all posts |Read mode


PRIHATIN: Yii turut mencadangkan agar Bantuan Kewangan Khas distrukturkan. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kerajaan negeri dicadang untuk memperkenalkan skim insentif tambahan yang menawarkan tiket penerbangan pergi balik percuma kepada pelajar yang mengekalkan PNGK 3.0 atau ke atas dalam pengajian mereka di luar Sarawak.

Adam Yii Siew Sang (GPS-Pujut) berkata, tambang penerbangan pergi balik percuma yang diberi sekali setahun itu bukan hanya akan meringankan beban kewangan pelajar, malah memberi motivasi kepada mereka untuk cemerlang dalam akademik.

“Ia juga akan membantu kita memupuk generasi berbakat, berpencapaian tinggi yang mempunyai hubungan baik dengan Sarawak, selain menggalakkan mereka untuk menyumbang kepada masa depan.

“Dengan melabur dalam pelajar ini, kita meletakkan asas yang kukuh untuk tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran.

"Ini penting untuk masa depan Sarawak sebagai rantau berpendapatan tinggi dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Yii dalam pada itu berkata, pengenalan Bantuan Kewangan Khas untuk pelajar Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia adalah membanggakan.

Peruntukan RM1,200 bagi setiap pelajar katanya, adalah langkah bernas yang menyediakan sokongan penting kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, meringankan beban kewangan mereka dan membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada pelajaran.

“Untuk meningkatkan lagi sokongan ini, saya mencadangkan agar Bantuan Kewangan Khas distrukturkan dalam pelbagai peringkat.

“Pelajar yang mencapai dan mengekalkan markah akademik cemerlang mungkin layak menerima jumlah bantuan kewangan yang lebih tinggi, sambil memastikan bahawa asas bantuan sebanyak RM1,200 untuk setiap pelajar tetap dikekalkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yii menggesa kerajaan Sarawak mempertimbangkan untuk memperuntukkan lebih banyak sumber kepada majlis tempatan supaya mereka berupaya memberikan perkhidmatan yang baik secara berterusan kepada rakyat.

Mengambil contoh Majlis Bandaraya Miri (MBM), beliau berkata peranan MBM telah berkembang dengan ketara selaras dengan perubahan masa dan keadaan.

“Sebagai contoh, perkhidmatan menyahcemar tangki septik yang wajib dilakukan, dikenakan kos tambahan RM5 hingga 6 juta ringgit setahun dan ia telah meningkat seiring dengan pertambahan penduduk.

“Selain itu, MBM juga giat mempromosikan Miri sebagai destinasi rekreasi dan riadah dengan menganjurkan lebih banyak acara dan aktiviti.

“Semua acara dan aktiviti ini sudah tentu melibatkan perbelanjaan MBM dari segi kewangan dan sumber lain,” katanya.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-11-2024 08:34 AM GMT+8 , Processed in 0.036704 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list