KESAN: JKM cari waris wanita warga emas bernama Chen Tian Kyau.
KOTA KINABALU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan waris kepada seorang wanita warga emas yang juga seorang OKU penglihatan bernama Chen Tian Kyau berusia 80 tahun.
JKM dalam satu kenyataan memaklumkan, alamat terakhir warga emas ini adalah di Kepayan Ridge Kota Kinabalu dan pihak JKM difahamkan bahawa beliau mempunyai adik-beradik dan anak kandung bagaimanapun sudah terputus hubungan.
“Penama kini sedang dijaga buat sementara waktu oleh salah seorang abang kandungnya yang menetap di Tuaran, namun beliau tidak mampu menjaga klien ini disebabkan beliau juga warga emas berusia 84 tahun dengan penyakit kronik.
“Pada masa sama, abang wanita ini juga perlu menjaga isterinya yang juga seorang pesakit kanser,” katanya.
Beliau berkata, abang warga emas ini kemudian datang ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Tuaran dan dibawa ke Klinik Kesihatan untuk mendapatkan rawatan selain diberikan tempat tinggal sementara.
Katanya, beliau kemudiannya dirujuk ke Pejabat Kebajikan Bahagian Kota Kinabalu untuk urusan mengesan waris dan urusan selanjutnya.
“JKM meminta sesiapa yang mengenali warga emas ini agar menghubungi Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Rita Robert Rawantas di Pejabat Kebajikan Bahagian Kota Kinabalu, menerusi talian 088-269821 atau emel kepada [email protected] ,” katanya.
|