Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam menyampaikan sumbangan kepada Jalil Zaman sambil disaksikan oleh isterinya, Fauziah Mat Nor. FOTO Mary Victoria Dass
Johor Bahru: "Doktor menyatakan mata sebelah kiri saya masih berpeluang untuk dibedah dan diselamatkam," kata bekas anggota tentera, Jalil Zaman, 58, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara di sini, hari ini.
Menurutnya, mata kanannya disahkan buta oleh doktor akibat masalah glaukoma pada 2000 dan ia merebak ke mata kanan pada 2018 hingga penglihatan mata kiri kabur.
Katanya, bagi mengelakkan kehilangan daya penglihatan sepenuhnya, doktor menasihatinya untuk menggunakan empat jenis ubat titis mata selain ubat untuk dimakan.
Katanya, malangnya hampir keseluruhan bekalan ubat itu hanya boleh didapati di farmasi dan ia mencecah RM1,000 sebulan.
"Bukan kami tidak berusaha namun akibat masalah kewangan, kami hanya mampu membeli satu jenis ubat sama ada ubat titis mata atau ubat untuk dimakan.
"Ia berikutan kami bergantung sepenuhnya kepada wang bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu RM450 setiap bulan selain pencen Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sebanyak RM150.
"Dengan pendapatan berkenaan, kami terpaksa berjimat hampir setiap hari dengan makan secara sederhana iaitu lauk telur, ikan masin serta sup sayur selain kami juga tidak dapat membayar bil utiliti sepenuhnya.
"Kami bersyukur kerana wang sewa PPR dibiaya oleh Yayasan MBJB dan ia mampu meringankan beban kami," katanya.
Jalil berkata, dia sebelum ini pernah berkhidmat sebagai anggota tentera di Kem Majidee antara 1987 sehingga 1990, manakala menjadi pekerja am di MBJB mulai 1991 sehingga 1996.
Menurutnya, selepas tempoh berkenaan dia bekerja sebagai pemandu lori dan sebelum menghidapi glaukoma, dia pernah mengalami simptom sakit kepala serta bisa badan.
Katanya, isterinya, Fauziah Mat Nor, 51, juga mengalami masalah sakit puan, slip disc serta ketumbuhan di rahim hingga tidak dapat bekerja.
"Isteri tidak mendapatkan rawatan susulan kerana mahu menjaga saya, kami juga tidak memiliki zuriat.
"Isteri pernah memohon bantuan daripada beberapa agensi namun sehingga kini kami hanya menerima bantuan daripada JKM.
"Selain menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Dan Hospital Sultan Ismail (HSI), isteri juga pernah membawa saya ke sebuah pusat perubatan pakar mata di bandar raya ini sebelum ini," katanya.
Jailani berkata, doktor di pusat perubatan pakar mata menyatakan mata kirinya masih berpeluang untuk diselamatkan sekiranya menjalani pembedahan namun kosnya melebihi RM7,000.
"Kami terpaksa menangguh pembedahan itu kerana mampu.
"Memang saya mahu untuk kembali sihat namun saya akur dengan keadaan kami ini yang tiada pilihan dan berserah kepada suratan takdir," katanya.
Sementara itu, Fauziah berkata, dia berharap diberi peluang untuk berpindah ke tingkat bawah PPR itu kerana buat masa ini mereka menduduki di tingkat lima hingga perkara itu menimbulkan kesulitan.
"Terutamanya ketika mahu ke hospital, saya perlu memerhatikan pergerakan suami supaya dia tidak jatuh sambil membawa barangan," katanya.
Fauziah berkata demikian selepas menerima sumbangan barangan dapur disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam di sini, hari ini.
Mas Imran berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan barangan bernilai RM1,000 kepada keluarga berkenaan.
Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Jalil, 01100-29-87741161-3.
Disiarkan pada: Disember 20, 2024
|