Daging wagyu yang dirampas MAQIS di Kompleks Sultan Abu Bakar di Iskandar Puteri. FOTO ihsan MAQIS
Iskandar Puteri: Cubaan lelaki menyeludup daging wagyu bernilai RM18,832 ke negara ini gagal apabila ditahan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor Edie Putra Md Yusof berkata, dalam kejadian 11 pagi, pihaknya menemukan 21.4 kilogram daging di dalam tiga kotak ketika memeriksa bahagian but belakang kereta.
Menurutnya, siasatan awal mendapati barangan itu dibawa masuk tanpa permit import Maqis di laluan penumpang kenderaan ringan.
"Hasil pemeriksaan mendapati daging wagyu itu juga dibawa masuk tanpa sijil kesihatan veterinar dan sijil pengesahan halal.
"Pemandu berusia 45 tahun dan kenderaan terbabit ditahan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.
Katanya, jika disabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Disiarkan pada: Disember 21, 2024
|