DUA juruterbang dan seorang penumpang yang terselamat selepas pesawat dinaiki mereka terhempas di pergunungan salji. FOTO Agensi
Moscow: Keajaiban berlaku buat tiga lelaki yang terselamat selepas pesawat dinaiki mereka terhempas di timur Rusia, sebelum terperangkap selama tiga hari di atas pergunungan salji dengan suhu mencecah -24 darjah Celsius, lapor Mirror UK.
Walaupun mengalami kecederaan serius dan cuaca yang ekstrem, ketiga-tiga mangsa membabitkan dua juruterbang berusia 71 dan 68 tahun serta seorang penumpang 25 tahun itu berjaya bertahan dengan menggali lubang di salji dan membakar bahan api pesawat untuk mengekalkan kehangatan tubuh.
Kejadian berlaku apabila pesawat An-2 yang berusia 36 tahun dinaiki mereka mengalami masalah teknikal yang teruk sepanjang penerbangan, sebelum mendarat dalam keadaan terbalik di padang salji selepas berdepan cuaca buruk.
Hanya berbekalkan dua keping roti dan sosej, mereka terpaksa makan sekali sehari untuk menjimatkan bekalan dan mencairkan salji untuk dijadikan air minuman.
Operasi mencari dan menyelamat dilakukan pihak berkuasa di Kamchatka, namun dihalang oleh cuaca buruk tetapi tiga lelaki itu akhirnya ditemukan hari ini pada ketinggian 1,124.7 meter dekat Gunung Tundrovaya.
Kesemua mereka mengalami radang dingin, luka dan lebam tetapi dapat berjalan dari lokasi nahas apabila sebuah helikopter penyelamat Mi-8 tiba.
Mangsa yang terselamat dibawa ke hospital dan salah seorangnya menjalani pembedahan kecil.
Juruterbang utama Andrey Gordeev, 68, berkata, pesawat mereka kehilangan altitud dengan cepat akibat pembekuan ketika dalam penerbangan antara kampung terpencil Milkovo dan Ossora, sejauh 595.5 kilometer (km).
"Kami terlanggar tanah tiga kali dan pesawat terbalik. Kabus pada ketinggian lima meter, jadi kami tidak dapat melihat di mana kami mendarat.
"Kami terbalik, tidak mudah untuk memanjat keluar (dari pesawat)… kami menghidupkan suar dan radio kecemasan," katanya.
Isyarat kecemasan itu diterima pada 20 Disember, sehari selepas mereka terhempas, tetapi disebabkan cuaca buruk, penyelamat tidak dapat menghubungi mereka.
"Kami tidak dapat mencari radio kecemasan dalam pesawat. Kami mempunyai makanan, sedikit, kami makan sekali sehari, adalah mustahil untuk kekal di dalam pesawat.
"Kami menggali lubang untuk tidur di sana pada waktu malam. Ada lubang di bawah sayap, terendam dalam bahan api," kata Gordeev.
|