Wartawan Itali, Cecilia Sala. - Foto AGENSI
ROME: Wartawan Itali, Cecilia Sala dibebaskan dari penjara Iran selepas tiga minggu ditahan dan kini dalam perjalanan pulang ke Itali, pejabat Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.
Sala yang ditahan polis Tehran pada 19 Disember lalu ketika sedang membuat liputan di ibu negara Iran, dibebaskan berikutan usaha diplomatik dan risikan oleh pihak berkuasa Itali, menurut Kementerian Luar itu
"Pesawat yang membawa wartawan Cecilia Sala pulang, telah berlepas beberapa minit lalu dari Tehran," kata pejabat Meloni dalam satu kenyataan. Sala dijangka tiba di Rom pada tengah hari ini.
"Terima kasih kepada usaha yang intensif melalui saluran diplomatik dan perisikan, rakyat kita telah dibebaskan oleh pihak berkuasa Iran dan kini dalam perjalanan pulang ke Itali," menurut kenyataan itu.
Meloni turut berkongsi berita pembebasan Sala di X, platform media sosial yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terbabit dalam usaha membebaskan Sala, "membolehkan beliau bertemu dengan keluarga dan rakan-rakannya."
Perdana Menteri juga berkata beliau telah memberitahu ibu bapa Sala secara peribadi mengenai pembebasannya melalui panggilan telefon.
Penahanan Sala telah menimbulkan spekulasi di media Itali mengenai kemungkinan kaitan dengan penahanan Mohammad Abedini, seorang jurutera Iran yang ditahan di Lapangan Terbang Malpensa, Milan, pada 16 Disember lalu, tiga hari sebelum Sala ditahan. Abedini ditahan atas waran Amerika Syarikat (AS).
Pembebasan Sala berlaku beberapa hari selepas Meloni membuat lawatan mengejut ke Florida untuk bertemu dengan Presiden terpilih AS Donald Trump di kediamannya di Mar-a-Lago.
Kepulangan Sala menandakan berakhirnya ketegangan dalam perundingan diplomatik, dengan kerajaan Meloni memberi kredit kepada rundingan di belakang tabir bagi pembebasannya.
|