FOTO dikongsi di media sosial menunjukkan pekerja sebuah syarikat memasukkan api dalam mulut ketika program pembinaan pasukan. FOTO Weibo
Beijing: Sebuah syarikat di China, menarik perhatian ramai apabila mengerahkan pekerjanya memasukkan api ke dalam mulut sebagai kaedah mengatasi ketakutan dan membina keyakinan diri, lapor South China Morning Post.
Seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Rongrong, mendedahkan kaedah tidak munasabah itu dimasukkan dalam aktiviti pembinaan pasukan yang disertainya baru-baru ini.
Katanya, kaedah itu memerlukan pekerja memasukkan putik kapas yang terbakar ke dalam mulut mereka.
"Acara bina pasukan selama dua hari itu disertai 60 orang yang dibahagikan kepada enam kumpulan.
"Tujuannya untuk menunjukkan kepimpinan dan kesungguhan kami tetapi saya takut dan macam merendahkan maruah kami.
"Tetapi saya terpaksa mematuhinya kerana takut hilang kerja," katanya.
Katanya, dia mahu memfailkan aduan kepada pihak berkuasa kerana acara itu melanggar undang-undang buruh.
Syarikat itu, yang berpangkalan di wilayah Liaoning di timur laut China, adalah sebuah organisasi pendidikan, tempat Rongrong bekerja kurang dari setahun, menurut saluran media, Xiaoxiang Morning News.
Banyak syarikat China dilaporkan menggunakan kaedah sama dalam pembinaan pasukan dengan mendakwa, ia meningkatkan keyakinan, membantu mengatasi ketakutan dan membuka potensi pekerja mereka.
Di bawah undang-undang China, syarikat yang mengenakan amalan tidak munasabah yang melanggar hak pekerja boleh menghadapi amaran dan diarah membayar ganti rugi.
Peguam dari Firma Guaman Hunan Furong, Chen Pingfan menggesa pekerja untuk menggunakan tindakan undang-undang dan pendedahan media untuk menyeru amalan tidak hormat di tempat kerja.
Insiden itu cepat menjadi tajuk utama di media sosial dengan topik berkaitan meraih 7.2 juta tontonan.
Disiarkan pada: Januari 9, 2025
|