Pendaki, Hadi Nazari (kanan) menunjukkan isyarat bagus selepas diselamatkan anggota penyelamat kelmarin. - Foto AGENSI
SYDNEY: Seorang pendaki yang tersesat hampir dua minggu di hutan belantara di Australia ditemui selamat hanya dengan memakan buah beri dan bar bijirin, kata polis hari ini.
Mangsa yang juga pelajar universiti, Hadi Nazari sesat pada 26 Disember lalu ketika melakukan pendakian secara berkumpulan menuju ke Hannels Spur dan gagal bertemu rakannya yang lain di tapak perkhemahan ditetapkan.
Menurut polis, lelaki berusia 23 tahun itu terpisah daripada kumpulannya selepas beliau berhenti untuk mengambil gambar dan pada masa itu, beliau bingung untuk mencari jalan pulang.
Sebuah helikopter polis menyelamatkan Nazari yang berada di belukar di tenggara Australia pada petang Rabu selepas sekumpulan pendaki mendengar suaranya menjerit meminta pertolongan.
"Dia menyelamatkan dirinya daripada hidrasi dengan meminum air dari anak sungai di sana dan turut mencari buah beri.
"Dia kemudiannya bertemu sebuah pondok pendaki dan menemui dua bar bijirin. Itu saja yang dia ada dalam tempoh dua minggu lalu," kata Superintendan Andrew Spliet kepada penyiar nasional, ABC, hari ini.
Trek Hannels Spur melalui pergunungan Australia ke puncak Gunung Kosciuszko, puncak tertinggi di negara itu.
Suhu semalaman di pergunungan itu kerap turun kepada lima darjah Celsius, dan kadangkala lebih rendah, pada musim panas.
Walaupun tiada salji pada kebanyakan musim panas di banjaran itu, namun semak belukar yang tebal dan angin kencang menjadikannya salah satu trek jalan kaki paling sukar di Australia.
|