Korea Utara melancarkan peluru berpandu yang tidak dikenal pasti ke arah Laut Timur pada hari Selasa, kata tentera Korea Selatan, merujuk kepada perairan yang juga dikenali sebagai Laut Jepun. - Foto AFP
SEOUL: Korea Utara melancarkan peluru berpandu yang tidak dikenal pasti ke arah Laut Timur hari ini, kata tentera Korea Selatan, merujuk kepada perairan yang juga dikenali sebagai Laut Jepun.
"Korea Utara melepaskan peluru berpandu yang tidak dikenali ke arah Laut Timur," kata tentera Korea Selatan.
Seoul tidak segera berkongsi butiran mengenai pelancaran itu. Ia berlaku seminggu selepas Pyongyang melancarkan apa yang dikatakan sistem peluru berpandu hipersonik baharu yang bertujuan untuk menghalang saingan negara di Pasifik.
Pelancaran itu adalah yang pertama oleh Korea Utara sejak bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memenangi pilihan raya November lalu dan ia hadir ketika Setiausaha Negara AS Antony Blinken melawat Korea Selatan.
Sekutu AS, Korea Selatan adalah saingan sengit Korea Utara, yang secara teknikalnya masih berperang.
Pelancaran oleh Pyongyang sebelum ini adalah pada November, apabila ia menguji apa yang dikatakan sebagai peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) bahan api pepejal yang paling canggih dan berkuasa.
Sebagai tindak balas, Korea Selatan melepaskan peluru berpandu balistik ke laut sebagai menunjukkan kekuatan selepas serangan peluru berpandu Pyongyang.
Washington menuduh Pyongyang menerima sokongan daripada Russia sebagai balasan menghantar tenteranya bertempur di Ukraine.
Namun, Korea Utara atau Russia tidak secara rasmi mengesahkan bahawa tentera Pyongyang berjuang untuk Moscow. - AGENSI
|