GAMBAR fail, Hambali. FOTO AFP
Jakarta: Menteri Penyelaras Bidang Undang-Undang, Hak Asasi Manusia (HAM), Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia, Yusril Ihza Mahendra, membuka peluang untuk memulangkan bekas ketua Jamaah Islamiyah, Encep Nurjaman atau lebih dikenali sebagai Hambali, dari penjara tentera Amerika Syarikat di Guantanamo, Cuba.
"Bagaimanapun Hambali adalah warga Indonesia. Apa pun kesalahan warganegara kita di luar negara, kita tetap perlu memberikan perhatian," kata Yusril ketika ditemui selepas menghadiri acara Ikatan Wartawan Hukum (Iwakum) di Jakarta, malam Jumaat, memetik laporan CNN Indonesia.
Yusril menjelaskan Hambali adalah pengganas yang disyaki terbabit dalam kejadian pengeboman di Bali pada 2002. Hambali pernah melarikan diri sehingga keberadaannya tidak diketahui sebelum berjaya ditangkap.
Hambali kemudiannya ditahan di Guantanamo atas permintaan Amerika Syarikat, namun kes Hambali masih belum mendapat kepastian undang-undang kerana dia belum diadili oleh pihak berkuasa di sana.
Menurut Yusril, kes Hambali sudah melebihi had masa untuk didakwa jika berdasarkan undang-undang Indonesia kerana jenayah keganasan yang membabitkan Hambali berlaku kira-kira 23 tahun lalu.
"Berdasarkan undang-undang Indonesia, sebenarnya jika jenayah itu dihukum mati atau penjara seumur hidup, ia mempunyai had masa. Jika melebihi 18 tahun, kes itu sudah tidak boleh dituntut lagi," katanya.
Yusril menyatakan bahawa pihaknya akan berbincang lebih lanjut dengan Presiden Prabowo Subianto mengenai isu ini dan Kerajaan Indonesia juga akan berbincang dengan Kerajaan Amerika Syarikat mengenai cadangan memulangkan Hambali.
"Sekarang ini kita masih belum pasti siapa yang mempunyai kuasa, Amerika Syarikat atau Cuba? Sebab kawasan Guantanamo berada di Cuba, dan sehingga hari ini dia sudah ditahan lama di sana tanpa diadili," ujarnya.
Tambahnya, cadangan pemulangan Hambali adalah sebahagian daripada perhatian kerajaan terhadap warga Indonesia yang berhadapan dengan isu undang-undang di luar negara.
"Supaya masyarakat tahu bahawa kita bukan sahaja menguruskan banduan asing di Indonesia, tetapi kita juga menguruskan warganegara kita yang berada di luar negara," katanya.
Selain Hambali yang ditahan di Guantanamo, Yusril turut memberi perhatian kepada warga Indonesia yang dijatuhi hukuman mati di negara lain, seperti di Malaysia dan Arab Saudi.
"Di Malaysia, ada kira-kira 54 rakyat Indonesia yang dijatuhi hukuman mati tetapi belum dilaksanakan. Di Arab Saudi pula, ada beberapa kes. Kita harap selepas kita menjaga hubungan baik, Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi boleh kita ajak berunding untuk menyelesaikan kes warganegara kita di luar negara," katanya.
Pada Disember lalu, Kerajaan Indonesia memulangkan pesalah yang dijatuhi hukuman mati kerana menyeludup dadah, Mary Jane, ke Filipina dan lima banduan kes Bali Nine ke Australia.
Selain itu, Indonesia sedang membincangkan pemindahan seorang pesalah mati membabitkan kes dadah warga Perancis, Serge Areski Atlaoui.
|