Bendera China. - Foto REUTERS
KUNMING: Kajian Geologi China (CGS) semalam mengumumkan penemuan deposit nadir bumi berskala besar di Wilayah Yunnan, China dengan anggaran sumber berpotensi sebanyak 1.15 juta tan, lapor Xinhua.
CGS, sebuah institusi di bawah Kementerian Sumber Asli China memaklumkan deposit itu mengandungi lebih 470,000 tan elemen nadir bumi kritikal seperti "praseodymium", "neodymium", "dysprosium" dan "terbium."
"Deposit ini tergolong dalam kategori penjerapan ion berskala besar, menjadikannya satu lagi pencapaian penting sejak penemuan pertama seumpamanya di Wilayah Jiangxi pada 1969," kata CGS.
Penemuan ini menyediakan logam utama yang diperlukan untuk pembangunan industri berteknologi tinggi, sekali gus mengukuhkan kelebihan sumber nadir bumi China serta memperbaiki rantaian industri berkaitan, menurut CGS. – BERNAMA-XINHUA
|