Alor Setar: Persembahan memukau penyanyi Ella membantu menarik orang ramai untuk menghulurkan sumbangan amal sempena majlis makan malam anjuran Pertubuhan Jariah Qaseh Malaysia di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Pada majlis itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan mengutip RM150,000 melalui jualan meja.
Pengerusinya, Natipah Abu berkata, hasil jualan meja itu akan digunakan untuk pengurusan di Kompleks Pertubuhan Jariah Qaseh di Sungai Petani.
"Setiap meja dijual pada harga RM3,000. Kutipan keseluruhan akan digunakan untuk membina surau, rumah untuk warga emas serta orang kurang upaya (OKU) lelaki.
"Pada majlis ini, kita turut menjemput Ella dan Nizam Laksamana sebagai artis jemputan," katanya.
Natipah berkata, pertubuhan itu ditubuhkan sejak 2019 dan setakat ini mempunyai Rumah Qaseh Ayah di Merbok, Rumah Anak Yatim Perempuan Jariah Qaseh di Sungai Petani dan tiga buah rumah mengaji di sekitar kawasan perumahan kos rendah di daerah itu yang mana semuanya disediakan secara percuma.