Kangar: Seorang kakitangan jabatan kerajaan di Perlis direman enam hari bagi membantu siasatan penyelewengan membabitkan tuntutan palsu wang bantuan kepada mualaf sebanyak RM132,000 di negeri itu.
Perintah reman bermula hari ini sehingga 26 Januari hadapan dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek, 28, dari Kangar itu dipercayai menyeleweng wang bantuan berkenaan dengan mengemukakan tuntutan palsu sejak 2022 hingga tahun lalu.
"Tuntutan palsu berkenaan dikemukakan menerusi 49 dokumen membabitkan 49 mualaf yang membolehkan sumbangan terhadap mualaf itu dikeluarkan.
"Suspek dipercayai menjadi 'penghubung' atau 'orang tengah' dalam menyalurkan wang sumbangan berkenaan kepada mualaf yang berdaftar, katanya.
Katanya, wang bantuan yang dituntut suspek itu bagaimanapun tidak disalurkan kepada mualaf.
"Suspek ditahan 4.30 petang semalam selepas dipanggil untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis," katanya.
Suspek diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Ghani mengesahkan penahanan suspek.
Kes disiasat mengikut Sekyen 18 Akta SPRM 2009 kerana tuntutan palsu.