Alor Setar: Mayat dua lelaki yang ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Tongkang Yard, di sini hari ini dipercayai lelaki warga emas serta anak angkatnya.
Dua mangsa terbabit berkemungkinan warga emas berusia 61 tahun dan anak angkat berumur 23 tahun.
Bagaimanapun identiti mereka belum dapat disahkan lagi sehingga ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, kebakaran dipercayai berlaku ketika kedua-dua
mangsa sedang tidur, dalam rumah separa kayu.
Katanya, bomba menerima panggilan berhubung keajdian itu pada 6.57 pagi dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, dibantu BBP Alor Setar bergegas ke lokasi.
"Operasi turut dibantu lima Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran untuk membantu memadam kebakaran.
"Selepas pemadaman dilakukan, didapati ada dua mangsa di dalam rumah dan pihak kami melakukan penyelamatan, namun kedua-duanya ditemukan rentung di tingkat bawah, berdekatan (antara satu sama lain) dalam jarak 0.6 meter.
"Siasatan masih dijalankan Bahagian Forensik JBPM Kedah dan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM turut membantu siasatan," katanya ketika ditemui di lokasi.
Ahmad Aminuddin berkata, tindakan kawalan dilaksana berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran.
"Setakat ini hanya dua mangsa yang terbabit, manakala kemusnahan rumah 70 peratus," katanya yang memaklumkan jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.