CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8732|Reply: 0

[Kedah] 'Saya tunggu pengesahan, mungkin satu daripada mayat rentung itu anak saya...'

[Copy link]
Post time 21-1-2025 03:03 PM | Show all posts |Read mode
'Saya tunggu pengesahan, mungkin satu daripada mayat rentung itu anak saya...'

Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 21, 2025 @ 2:36pm[email protected]





Mohd Zaini menunggu pengesahan satu daripada mayat rentung dalam kebakaran pagi tadi adalah anaknya yang tinggal di rumah itu. NSTP/WAN NABIL NASIR.





ALOR SETAR: "Saya cuba hubungi telefon bimbit anak berkali-kali sejak pagi tadi, namun sampai sekarang tidak dijawab. Jadi, saya hanya tunggu laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan maklumat lanjut daripada pihak polis untuk mengesahkan benarkah satu daripada mayat rentung itu adalah dia," kata Mohd Zaini Hashim, 63.

Mohd Zaini berkata, anaknya, Muhammad Muslim, 23, tinggal bersama bapa angkatnya, Ibrahim Mydin, 61, di rumah yang musnah terbakar itu sejak tiga tahun lalu.

Katanya, dia dimaklumkan rumah didiami anaknya itu di Tongkang Yard, di sini, terbakar pagi tadi dan dua mangsa ditemui rentung.

"Saya tengok keadaan mayat itu rentung sepenuhnya hingga sukar buat pengecaman, tambahan lagi mata saya kabur.

"Jadi, saya serahkan siasatan kepada pihak bomba dan polis sehinggalah identiti mangsa itu disahkan dan jika itu anak saya, saya reda dengan pemergiannya akibat bencana ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa rentung itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.

Mohd Zaini berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu pada jam 11 pagi semalam ketika pulang ke rumah neneknya di Kuala Kedah.

Katanya, Muhammad Muslim pulang hanya untuk membantu ibu saudaranya membersihkan rumah neneknya itu kerana mereka hendak mengadakan kenduri pertunangan sepupunya pada 31 Januari ini.

"Saya sempat tegur dia, suruh dia kerja elok-elok. Bila berlaku kebakaran hari ini dan dimaklumkan dua mangsa ditemui rentung, saya sedih kerana bimbang itu adalah mayat anak saya kerana dia tinggal bersama Ibrahim di rumah itu.

"Memang Ibrahim yang tinggal seorang diri di rumah dua tingkat itu meminta izin saya untuk membenarkan Muhammad Muslim tinggal bersamanya sebelum ini," katanya.

Sementara itu, anak kepada Ibrahim, Mohd Akram, 30, berkata dia menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan rumah didiami bapanya bersama anak angkatnya itu terbakar pada jam 7.30 pagi tadi.

Katanya, lebih mengejutkan apabila dua mangsa ditemui rentung dalam rumah itu.

"Saya seperti tak percaya kerana bapa seorang yang berjaga-jaga dengan persekitaran rumahnya.

"Bapa ada penyakit asma dan kali terakhir saya datang bertemunya pada jam 11 malam tadi di rumah ini dan berbual dengannya kira-kira satu jam setengah.

"Rumah ini rumah pusaka dan bapa tinggal di sini sejak berpisah dengan ibu, jadi saya selalu datang melawatnya di sini," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1352044/saya-tunggu-pengesahan-mungkin-satu-daripada-mayat-rentung-itu-anak





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-3-2025 10:41 PM GMT+8 , Processed in 0.582547 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list