PENGAWAL Awam menemukan kapal itu separuh tenggelam. FOTO AFP
Madrid: Sebuah kapal selam dipercayai membawa dadah seludup, terbahagi dua, ketika sebuah bot nelayan menundanya ke sebuah pelabuhan di barat laut Sepanyol, semalam, kata polis.
Bot nelayan Maria Cristina melihat kapal separa tenggelam itu pada pagi Rabu di pintu masuk ke muara Camarinas-Muxia di wilayah Galicia
Ia terus menundanya ke pelabuhan Camarinas selepas memaklumkan penemuan itu kepada polis, kata Pengawal Awam dalam satu kenyataan.
"Ketika operasi itu, kapal selam narkotik terbahagi kepada dua bahagian iaitu yang masih terapung dan tenggelam kerana beratnya lebih besar," tambah kenyataan itu.
Penyelam polis sedang mencari bahagian kapal yang tenggelam untuk dianalisis.
Tidak jelas sama ada terdapat sebarang dadah di dalamnya.
Polis Sepanyol pada 2019 merampas sebuah kapal selam separuh tenggelam yang membawa lebih 3,000 kilogram (kg) kokain di luar pantai Galicia.
Kapal itu disyaki berasal dari Amerika Selatan.
Pengedar dadah, terutamanya dari Colombia menggunakan kapal selam untuk mengangkut kokain ke Mexico, dan dari sana ke Amerika Syarikat (AS).
Kebanyakannya hanya separa tenggelam iaitu kapal yang tidak boleh menyelam sepenuhnya.
Difahamkan, Galicia sudah lama menjadi pintu masuk utama untuk dadah seludup ke Eropah.
Disiarkan pada: Januari 23, 2025
|