Pendang: Remaja lelaki 17 tahun yang hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Padang Terap, Chegar petang semalam akhirnya ditemukan mati lemas, hari ini.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, jasad Nur Haidhar Nasrul, 17, ditemukan jam 11.18 pagi tadi.
Beliau berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman pertama di lokasi pada jam 10.34 pagi dan selaman kedua pada jam 11.01 pagi.
"Selaman ketiga dilakukan sejurus selepas itu dan mangsa ditemukan pada jam 11.18 pagi pada jarak 10 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh di sungai berkenaan.
"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan remaja lelaki itu dikhuatiri lemas petang semalam, bagaimanapun motosikal mangsa ditemui di sungai berkenaan ketika operasi pencarian dilakukan pada jam 7.16 malam.