Petugas kesihatan di Klinik Kesihatan (KK) Gelang Patah menggunakan komputer baharu yang disampaikan Kerajaan Negeri selepas dua bulan lawatan mengejut diadakan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ke KK tersebut. | Foto MDJ Wira Anggara
IskandarPuteri – Petugas kesihatan di Klinik Kesihatan (KK) Gelang Patah menyanjung tinggi dan menghargai komitmen Kerajaan Negeri menaik taraf fasiliti kesihatan demi keselesaan mereka dalam memberikan perkhidmatan perubatan terbaik kepada pesakit yang datang mendapatkan rawatan.
Menyambut baik keprihatinan dan bantuan naik taraf berkenaan, Dr. Sumaiyyah Abdul Rahim selaku Pegawai Perubatan KK Gelang Patah berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sentiasa cakna dan telah bertindak proaktif untuk memenuhi keperluan mendesak warga kerja KK berkenaan.
Lawatan mengejut YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ke KK Gelang Patah pada Oktober tahun lalu, memberikan sinar harapan dan khabar gembira kepada lebih 80 petugas yang sekian lama memerlukan keperluan tertentu termasuk peralatan bukan perubatan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Telah berkhidmat sejak tahun 2014, Sumaiyyah turut menzahirkan rasa terharu apabila bantuan keperluan lain seperti penyaman udara, komputer, almari, kerusi pejabat dan kerusi berangkai telah disampaikan dalam tempoh dua bulan selepas KK tersebut menerima lawatan Menteri Besar Johor.
Dengan jumlah pesakit mencecah antara 500 hingga 800 orang setiap hari, usaha murni Kerajaan Negeri menyediakan bantuan yang signifikan demi keselesaan petugas, pesakit dan pengunjung itu juga disifatkan Sumaiyyah sebagai langkah positif bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
Untuk rekod, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM4 juta di dalam Belanjawan Johor 2025 bagi inisiatif Bantuan Menaik Taraf Fasiliti melibatkan KK Gelang Patah, KK Majidee, KK Tebrau dan KK Kulai.
|