|
Seniman terus bergolak biarpun diterajui pucuk pimpinan berbeza\rJANGKA hayat keharmonian persatuan hiburan tanah air selalunya amat singkat apabila ada saja pergolakan yang berlaku pada pertengahan jalan. Masalah itu nampaknya turut berlaku kepada Persatuan Seniman Malaysian (Seniman) walaupun pucuk pimpinan barunya, Harun Salim Bachik, baru mengemudi persatuan itu buat tahun kedua.\r\n\n\n\n\r Tindakan tidak mengundang media ke Mesyuarat Agungnya, Mac lalu berjaya menyembunyikan seketika pergolakan yang berlaku terhadap persatuan itu. Bagaimanapun pergolakan itu berjaya dihidu media apabila ia terbongkar sedikit demi sedikit, bermula dengan tulisan nota kaki dalam ruangan pojok Kak Pora dalam akhbar sisipan B*POP, beberapa minggu lalu.\r\r\n\n\n\n\n Presidennya Harun sendiri tidak menafikan memang timbulnya masalah dalam persatuan itu apabila kepimpinannya dipertikaikan. Pada waktu sama, dua ahlinya iaitu Timbalan Presiden, Shahriza Mahmud, dan Ketua Biro Agama, Wazata Zain, menghantar surat peletakan jawatan.\rHip difahamkan bukan dua ahli itu saja meletakkan jawatan, sebaliknya hampir separuh daripada ahli Seniman turut menarik diri. Bagaimanapun mereka kembali menyertai persatuan itu selepas dipujuk.\rShahriza meletakkan jawatan pada penghujung Aidilfitri lalu, begitu juga dengan Wazata Zain. Bagaimanapun penarikan diri mereka sebelum mesyuarat agung berlangsung sepatutnya tidak sah. Ahli yang ingin meletak jawatan hanya dibenarkan berbuat demikian pada mesyuarat agung.\rShahriza ketika dihubungi enggan mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku hingga menyebabkan dia mengambil tindakan melepaskan jawatan Timbalan Presiden yang disandang.\r\n\n\n\n\rCukup katanya, ia bersangkut paut dengan tiga perkara iaitu hubungan kerja, amanah dan rasa hormat. Apabila ketiga-tiga perkara itu tidak lagi wujud, jalan terbaik adalah dengan berundur diri.\r“Hubungan saya sesama ahli tiada masalah. Apa yang boleh saya katakan, masalah yang timbul membabitkan persatuan. Saya tak nafikan ada masalah dengan orang-orang tertentu, tetapi lebih baik saya tidak dedahkan siapa mereka.\r“Saya amat kecewa dengan perkara yang sudah berlaku. Selama ini seluruh jiwa raga diserahkan pada persatuan itu. Seniman saya anggap seperti rumah tangga sendiri. Saya sanggup buang kehidupan semata-mata ingin memberikan tumpuan kepada Seniman. Malah persatuan ini juga lebih penting daripada keluarga sendiri, tetapi apa yang berlaku cukup mengecewakan. Bukan setakat kecewa, bahkan air mata juga sudah banyak habis mengenangkan pengorbanan kita yang tidak dihargai oleh persatuan ini,” kata Shahriza.\rMenurut Shahriza lagi, susah untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku kerana terlalu banyak yang terjadi sepanjang dua tahun persatuan itu dikemudi gerakan baru. Lagipun dia bimbang jika dia bersuara, masalah yang kecil menjadi besar. \rKatanya lagi, dia tiada masalah untuk bekerja dengan sesiapa saja, tetapi kesabarannya ada batas apabila sering dimaki dan kerjanya tidak dihargai.\r“Saya bukannya laparkan jawatan. Sebagai seorang Timbalan Presiden saya terima jawatan itu kerana ingin memberikan sesuatu sesuai dengan jawatan yang saya pegang. Bagaimanapun, apa yang saya hendak beri tidak diterima kerana pelbagai halangan serta campur tangan orang lain yang lebih berkuasa.\r“Kalau boleh, saya tidak mahu persatuan yang membabitkan artis bergolak. Sepatutnya kita perlu menunjukkan sikap profesional, bukannya dengan bergaduh,” katanya yang masih lagi menjadi ahli Seniman.\rKembali selepas dipujuk\rSEMENTARA itu, seorang lagi ahli Seniman, Zulkifli Ismail, yang memegang jawatan Penolong Setiausaha juga dikhabarkan menarik diri. Bagaimanapun ketika dihubungi, Zulkifli berkata dia sudah kembali kepada persatuan itu selepas dipujuk.\rKatanya, dia meletakkan jawatan kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen kepada persatuan berikutan sibuk dengan lakonan. Justeru, dia berasa tidak adil kerana tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan kepada persatuan berkenaan.\r“Memang saya ada menghantar surat peletakan jawatan pada Julai lalu. Sukar untuk saya nyatakan apa yang terjadi kerana ia terlalu sensitif. Bagaimanapun saya kini sudah kembali kepada Seniman selepas mereka meminta saya menarik kembali niat itu. Saya menarik balik hasrat untuk letak jawatan dengan harapan pada mesyuarat agung tempoh hari mereka akan memilih orang lain untuk menggantikan tempat saya. Oleh kerana tidak ada orang yang menggantikan tempat saya, saya terpaksa pegang semula jawatan itu,” katanya.\rHip juga cuba mendapatkan komen daripada Abu Bakar Omar iaitu bekas Bendahari Seniman berikutan beliau adalah orang yang bertindak membangkitkan isu kewangan persatuan terbabit. Bagaimanapun Abu Bakar yang kini sedang menjalani penggambaran di Melaka meminta Hip menunggu sehingga minggu depan kerana beliau ingin berbincang dengan beberapa ahli lain.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|