View: 196|Reply: 0
|
Fragmen: Banyak tidak semestinya beri manfaat
[Copy link]
|
|
Cerita, imej program TV bertemakan keislaman dan kerohanian masih klise\rHAMPIR setiap kali Ramadan setiap tahun, stesen TV menyediakan berpuluh program khusus dan istimewa seolah-olah umat Islam mempunyai banyak masa untuk menontonnya.\r\n\n\n\n\rSama seperti Aidilfitri nanti apabila setiap saluran TV dijangka sarat dengan program raya. Ia seperti satu pembentukan budaya baru untuk umat Islam yang diwujudkan oleh stesen TV.\r\r\n\n\n\n\nPada bulan puasa, kita digalakkan untuk melakukan ibadat sebanyak yang boleh kerana Ramadan ialah bulan yang penuh dengan keberkatan. Tapi ada yang mengatakan program TV menjadi godaan besar kepada umat Islam untuk melakukan ibadat dalam bulan keberkatan ini dengan sebanyak yang boleh.\rAgak signifikan juga dengan program raya. Pada Aidilfitri nanti, kita digalakkan menziarahi saudara mara dan rakan taulan, tetapi kebanyakan orang menjadi berat punggung kerana dikatakan lebih suka menatap pelbagai program khas raya. Bagaimanapun, banyaknya program TV pada Ramadan atau Aidilfitri bukan boleh dijadikan alasan untuk tidak beribadat dan berziarah, kerana dalam hal ini pucuk pangkalnya bergantung kepada hati kita sendiri.\rNamun, kesempatan menonton beberapa program seperti drama atau telefilem yang disiarkan di TV ceritanya tidaklah nampak ada kelainan. Biasa atau sama saja dengan program yang disiarkan di luar bulan puasa.\rImej Islam dalam drama yang kononnya bertemakan keislaman sudah kelihatan terlalu klise atau stereotaip saja. Orang Melayu Islam akan ditonjolkan dengan imej berbaju Melayu, berkain sarung atau kain pelikat dengan berserban lilit di kepala atau berselimpang di dada untuk menggambarkan golongan warak dan alim. Imej ini selalunya untuk watak imam.\r\n\n\n\n\rItu semua bukanlah satu kesalahan. Tak salah apa-apa pun. Cuma dalam mengerjakan ibadat harian seperti bersolat, apa yang penting pakaian kita mestilah bersih daripada najis dan boleh menutup aurat. Jadi, apalah salahnya kalau dipaparkan lelaki bersolat dengan baju T biasa atau baju kemeja berlengan pendek, misalnya, dan berseluar jeans menjadi imam dalam sebuah surau atau masjid.\rKalau tidak susahlah. Setiap kali hendak bersolat jemaah, kena tunggu seseorang yang lengkap berpakaian serban, berbaju Melayu dan berkain pelikat atau berjubah! Dalam drama TV kita ini, seolah-olah kalau tidak ada imej seperti ini, macam tidak sah solat berjemaah. Begitu juga dengan watak perempuan Islam yang semestinya ditampilkan dengan berhijab atau bertudung. Alangkah bagusnya kalau pelakon yang bertudung itu sememangnya orang yang benar-benar bertudung, baik di luar atau dalam drama yang dibintanginya.\rKadang-kadang penonton rasa tertipu pula kerana dalam drama pelakon wanita ditonjolkan dengan imej yang sungguh murni, bertudung, lemah lembut dan sungguh ayu. Tapi hakikatnya adalah sebaliknya. \rKita bukan hendak katakan pelakon wanita dalam drama atau filem yang bertemakan keagamaan ini tidak baik. Cuma lazimnya, pemakaian mereka secara realitinya memang jauh panggang daripada api dengan watak-watak yang mereka bawakan dalam drama atau telefilem yang kononnya bercorak keislaman.\rKita juga amat bersyukur kerana semakin ramai artis yang mendapat petunjuk dan hidayah untuk mengerjakan ibadat Islam dengan sempurna selepas mendakwa selama ini mereka seolah-olah berada dalam ‘kesesatan’ atau ‘kejahilan’. Alhamdulillah kepada artis seperti ini, mudah-mudahan menjadi ikutan kepada rakan artis yang lain untuk menjadi Muslim atau Muslimah yang bertakwa kepada Allah.\rCuma daripada kenyataan demi kenyataan yang di media, ia memberi gambaran Islam itu sangat sukar untuk diamalkan atau susah dikerjakan kalau mereka sedang bekerja sebagai seorang artis. Misalnya, kalau sedang berlakon, susah hendak mengerjakan solat kerana waktu itu pengarah mahu menyiapkan penggambaran.\rKita harap pengalaman artis yang berasakan suatu ketika pernah berada dalam ‘kejahilan’ itu boleh diangkat dan diceritakan dalam bentuk drama TV. Biar orang ramai faham betapa menjadi artis ini sebenarnya sejenis pekerjaan yang sangat banyak godaan dan cabaran sehingga amat sukar untuk mengerjakan segala suruhan Allah seterusnya menjadi umat yang bertakwa.\rKebanyakan drama atau telefilem sekarang disiarkan juga, kita berasakan memaparkan tema yang sempit, masih membawa cerita biasa.\rWalaupun berlatarkan Islam, tetapi temanya tidak diangkat dengan lebih luas dan lebih terbuka. Program keislaman kita masih mengangkat Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam.\rKalau ada cerita mengenai seorang bukan Islam hendak memahami dan mendekati Islam, kisah penceritaannya masih klise. Mesti lelaki atau wanita bukan Islam akan jatuh hati lalu berkahwin dengan wanita atau lelaki yang kononnya banyak membimbing dalam Islam. \rPernah seorang kawan bukan Islam secara berseloroh berkata, dia takut kalau hendak mendalami Islam dengan seseorang jejaka Islam, nanti akhirnya akan jatuh hati lalu berkahwin dengan lelaki itu pula, seperti yang kerap dipaparkan dalam drama atau telefilem kita.\rSeperkara yang perlu diberi perhatian dalam setiap produksi bertemakan keagamaan, senaraikan individu yang menjadi rujukan pada kredit drama, telefilem atau filem bertemakan Islam ini. Bukan setakat nama pelakon atau tenaga produksi saja. Malahan sudah tiba masanya semua stesen TV mewajibkan kepada semua syarikat penerbitan program TV supaya meletakkan nama pakar agama yang menjadi tempat rujukan atau penasihat ke atas produk yang mereka terbitkan.\rDalam drama bertemakan Islam daripada Indonesia, kita dapati mereka meletakkan dua atau tiga individu seperti ustaz, imam atau mereka yang arif dalam agama sebagai penasihat atau rujukan untuk produksi mereka.\rPerkara ini boleh dijadikan satu peraturan baru oleh stesen TV seperti TV Alhijrah dan saluran Astro Oasis mahupun RTM yang mana setiap drama bercirikan keislaman diwajibkan meletakkan nama penasihat keagamaan yang diiktiraf. Stesen ini juga boleh memainkan peranan memperbetulkan tanggapan bahawa pengertian Islam itu sungguh meluas, tidak menyusahkan umatnya tetapi besar nikmatnya kalau tekun mengerjakan dan mengamalkan dengan ikhlas.\rDan sempena Ramadan ini, kita tidak perlu terlalu banyak program yang kononnya bercirikan keislaman, tetapi tidak memberikan sebarang impak kepada penonton. Biarlah jumlahnya sedikit atau berpada-pada, tetapi setiap kali ditonton ia benar-benar meninggalkan kesan dalam sanubari penontonnya.\rWalaupun kita hendak cepat sembuh daripada sesuatu penyakit, tidak semestinya doktor akan memberikan terlalu banyak ubat. – [email protected]
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|