|
Dikurniakan pingat DMSM di atas dedikasinya terhadap lagu Melayu AsliPENYANYI veteran, Andre Goh melahirkan perasaan terharu dan teruja menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk sempena hari jadi rasmi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob ke-73 pada 8 Oktober lalu.\n\n\n\n Pemilik nama Goh Eng Boon yang kini berusia 65 itu juga, mengakui tidak menyangka sama sekali akan diberi pengiktirafan tinggi seperti itu oleh kerajaan Melaka selepas kira-kira 39 tahun terbabit dalam industri hiburan di negara ini.\n\n\n\n\n\n Terkenal sebagai penyanyi lagu-lagu Melayu Asli sejak sekian lama dan pernah menjadi finalis Bakat TV Kedua 1972, beliau mendedikasikan penganugerahan itu kepada rakan-rakan yang sealiran memperjuangan genre itu, sama ada masih hidup atau sudah meninggal.“Saya memang terperanjat apabila diberitahu mengenai pengiktirafan yang diberikan ini melalui panggilan telefon empat hari sebelum majlis diadakan. Memang sukar mengungkapkan perasaan gembira...terima kasih tidak terhingga kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka dan kerajaan Melaka.“Penganugerahan ini sudah tentu amat bermakna sekali dan saya ingin mendedikasinya kepada rakan-rakan seperjuangan yang turut memartabatkan lagu Melayu asli sama ada yang sudah tiada, masih hidup dan akan datang,” katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan itu di Seri Negeri, Ayer Keroh, baru-baru ini.Goh adalah antara 1,068 individu yang menerima darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran kerajaan Melaka meliputi anggota kabinet, artis dan pengamal media termasuk 118 membawa gelaran Datuk sempena hari jadi rasmi Yang Dipertua Negeri Melaka itu, bagi tahun ini.\n\n\n\nHadir sama menyaksikan penganugerahan itu ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan isteri, Datin Wira Asmah Abd Rahman serta Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad.Pada awal zaman pembabitannya dalam bidang seni, Goh boleh dianggap pencetus kepada kebangkitan penyanyi bukan Melayu yang berjaya menempa nama dalam kebanjiran artis Melayu tanah air pada masa itu sehingga orang mengenali Andre Goh dengan lagu berirama Melayu asli.Mengungkap sejarah hidupnya, Goh memberitahu, ibunya, Wee Teck Neo berasal dari Melaka Pindah, Melaka manakala ayahnya, Goh Tiam Leong pula dari Kampung Pantai Belimbing Dalam, Durian Tunggal.Selepas seminggu kelahirannya, keluarganya berpindah ke Kampung Sialang, Tangkak, Johor. Disitu beliau menjadi satu-satunya keluarga Cina menetap di tengah perkampungan Melayu, sekali gus menjadikan mereka terikut dengan budaya orang Melayu.Justeru, latar kehidupannya itu menjadikan beliau begitu fasih berbahasa Melayu dan apa yang menarik, bukan saja dirinya yang boleh menyanyikan lagu Melayu dengan baik, malah bapanya turut mahir mendendangkan lagu dondang sayang.“Ibu saya pula sungguh mahir berpantun walaupun dia tidak pernah bersekolah. Rumah saya juga sering menjadi tempat perhimpunan orang kampung untuk belajar menyanyi lagu langgam, dondang sayang atau asli.“Saya yang berketurunan Baba Melaka menjadikan semua adat dan budaya orang Melayu sebagai amalan dalam keluarga, sebab itu sejak kecil lagi saya sudah bergaul dan terikut dengan budaya Melayu,” katanya.Ketika ini, selepas 39 tahun dalam industri hiburan, Goh masih ktif dalam memenuhi undangan nyanyian di seluruh negara dan baru sahaja selesai membuat persembahan sempena Pesta Layang-layang Antarabangsa di Bintulu, Sarawak pada 24 September lalu serta Konsert Gemilang 50 Tahun Orkestra Radio Televisyen Malaysia yang rakamannya bakal disiarkan pada 1 November nanti.Sebelum ini, beliau pernah merakamkan album (bentuk EP) pertama pada 1973 berjudul Halimun Malam, disusuli album lain termasuk Harapan Kecewa, Samudera Sunyi, Fatwa Pujangga, Impian dan Nostalgia Aidil Fitri Bersama Artis Lagenda (1998).Selain menyanyi, beliau turut berbakat dalam bidang lakonan drama antaranya Sayang Mas Merah, Kadir & Kim, Di Hujung Pelangi, selain lakonan filem Dayang Suhana serta sitkom Keluarga Nyonya dan Mama Mahu Khawin Lagi arahan Mat Sentul.Antara anugerah lain yang pernah diterima beliau ialah Bintang Ahli Mangku Negara pada 1982 dan Darjah Seri Melaka pada 2008.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|